Penyokong Najib berkumpul tunggu keputusan mahkamah

Penyokong Najib berkumpul tunggu keputusan mahkamah

Sokongan terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut dizahirkan menerusi laungan 'Keadilan untuk Najib', ‘Bebas Bossku’ dan 'Lawan Tetap Lawan'.

penyokong najib
Sekumpulan penyokong Najib Razak mula berkumpul di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR:
Menjelang keputusan semakan kehakiman Najib Razak untuk menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah, lebih 100 penyokong bekas perdana menteri itu mula berkumpul di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, seawal 7 pagi tadi.

Sokongan terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut dizahirkan menerusi laungan ‘Keadilan untuk Najib’, ‘Bebas Bossku’ dan ‘Lawan Tetap Lawan’.

Difahamkan, penyokong yang hadir hari ini datang dari pelbagai negeri termasuk dari utara Semenanjung, selain enam bas dari Pekan, Pahang membawa penyokong setia bekas presiden Umno itu.

Najib dilihat tiba dari Penjara Kajang pada 8.41 pagi.

Hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Alice Loke dijadual menyampaikan keputusannya dalam semakan kehakiman difailkan Najib memohon menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Keputusan itu akan menentukan sama ada Najib akan dibenar menjalani baki hukuman penjara seperti dikehendaki atau sebaliknya kekal di Penjara Kajang.

Najib didapati bersalah atas penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta dan sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang, sejak 23 Ogos 2022.

Beliau telah memohon pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.

Pada 2 Feb 2024, Lembaga Pengampunan mengumumkan tempoh pemenjaraannya dikurangkan separuh daripada 12 tahun kepada enam tahun, dan denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong memegang hak prerogatif memberi pengampunan di bawah Perkara 42(1) dan (2), berdasarkan nasihat Lembaga Pengampunan dipengerusikan baginda, bagi kesalahan dilakukan dalam Wilayah Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.