
Ini susulan laporan Naomi @ Neomi Francis memfailkan permohonan kebenaran bagi memulakan prosiding di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu untuk batalkan pengisytiharan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengumumkan kemenangan Masidi di DUN itu dan menggesa pilihan raya baharu diadakan.
Mengulas lanjut, Masidi berkata dakwaan Naomi itu sebagai tidak berasas, tidak berlandaskan fakta dan bertujuan melemahkan proses demokrasi serta kepercayaan rakyat.
“Saya menafikan secara tegas sebarang dakwaan amalan rasuah atau pelanggaran peraturan pilihan raya semasa PRN Sabah lalu,” katanya kepada FMT.
Beliau juga menegaskan bahawa kempen GRS dijalankan mengikut undang-undang, dengan ketelusan dan integriti.
Bagaimanapun, katanya, sebagai sebuah negara demokrasi Naomi bebas membuat sebarang tuntutan di mahkamah.
“Kami kekal komited untuk mempertahankan nilai-nilai demokrasi dan memastikan suara rakyat dihormati,” katanya
Menurut Malaysiakini, perkara itu ditetapkan untuk sebutan pada 4 Feb tahun depan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Alexander Siew. Masidi dan SPR dinamakan sebagai defendan.
Naomi dilaporkan mendakwa SPR gagal melaksanakan kewajipan undang-undang dan perlembagaannya untuk memastikan pilihan raya Karanaan dijalankan secara adil dan mengikut undang-undang.
Beliau mendakwa pertandingan di Karanaan terjejas akibat ‘amalan rasuah yang berleluasa’, termasuk pembelian undi, rasuah dan pengaruh tidak wajar terhadap pengundi.
Katanya, pengundi diberikan wang tunai antara RM100 hingga RM200 di sekurang-kurangnya empat lokasi di Karanaan, ‘dengan dorongan yang jelas untuk mengundi Masidi’.
Naomi juga mendakwa terdapat ‘ketidakaturan material dalam pengendalian proses pengundian’, termasuk satu insiden ejen pengundian pemohon didakwa dinafikan akses pada permulaan proses pengundian, serta isu berkaitan penyediaan Borang 14 (borang penyata pengundian selepas pengiraan).
Masidi memenangi kerusi Karanaan dengan majoriti besar 5,361 undi dalam pertandingan tujuh penjuru menentang calon Barisan Nasional, Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat, Warisan, Upko dan Naomi, yang hanya memperoleh 115 undi.