
Pada PRN Sabah 29 Nov lepas, Mohd Ismail, 44, yang bertanding sebagai calon bebas, tewas kepada Bung Moktar Radin, yang memperoleh majoriti 153 undi dalam saingan lima penjuru.
Pengerusi BN Sabah Jafry Ariffin yang juga ketua Umno Sabah berkata, pemilihan Mohd Ismail selaras dengan keperluan pemimpin muda sebagai pemimpin masa depan dan keperluan tadbir urus politik parti.
“Berteras pertimbangan itu, BN Sabah mencalonkan (Mohd Ismail) sebagai calon perpaduan melalui kapasiti keahlian terus BN,” katanya di Kota Kinabalu, lapor Bernama.
“Pencalonan ini merupakan strategi politik berasaskan institusi bagi mengukuhkan kerjasama lebih menyeluruh, merapatkan jurang politik serta memastikan kesinambungan agenda pembangunan rakyat dapat dilaksanakan tanpa gangguan ketidaktentuan politik.”
Kerusi DUN Lamag, serta Parlimen Kinabatangan, kosong selepas penyandangnya, Bung Moktar, meninggal dunia pada 5 Dis.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 24 Jan depan, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 10 dan 20 Jan.