
Menurut Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), walaupun Akta Perubatan 1971 melarang penyalahgunaan gelaran itu oleh individu tidak berdaftar, kejelasan amat diperlukan dalam hal berkaitan pengiklanan atau media sosial.
“Ini bukan soal sekatan, sebaliknya lebih kepada usaha memastikan ketelusan dan melindungi orang awam daripada kekeliruan,” kata Presiden FPMPAM Dr Shanmuganathan Ganeson ketika dihubungi FMT.
Pada 23 Dis, Majlis Perubatan Malaysia (MPM) menyatakan bahawa graduan perubatan dibenarkan menggunakan gelaran tersebut bagi mencerminkan kelayakan akademik mereka, walaupun tidak berdaftar sebagai pengamal perubatan dengan majlis tersebut.
MPM berkata demikian bagi mengulas persoalan mengenai gelaran Menteri Belia dan Sukan Dr Taufiq Johari, selepas semakan mendapati nama beliau tidak didaftarkan dalam pangkalan data majlis.
Shanmuganathan berkata, walaupun kenyataan MPM itu tepat, masyarakat tidak melihat gelaran ‘Dr’ dari sudut akademik semata-mata.
Dalam sektor penjagaan kesihatan, katanya, gelaran tersebut mempunyai kaitan rapat dengan kecekapan klinikal, akauntabiliti profesional, serta keselamatan pesakit.
“Apabila digunakan dalam kegiatan berkaitan kesihatan, ia secara tidak langsung memberikan gambaran mengenai autoriti perubatan,” katanya.
“Justeru, sekalipun penjelasan MPM mungkin betul dari segi teknikal, ia perlu difahami seiring dengan tanggungjawab yang lebih luas bagi melindungi orang awam daripada kekeliruan atau salah nyata.”
Risiko salah guna gelaran
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Thirunavukarasu Rajoo berkata, walaupun gelaran tersebut boleh digunakan oleh mereka yang telah memperoleh ijazah perubatan, perlu ditegaskan bahawa ia tidak memberi hak kepada mereka untuk mengamalkan perubatan atau menggambarkan bahawa mereka berdaftar dengan MPM.
Katanya, menurut Seksyen 33 Akta Perubatan, sesiapa yang tidak berdaftar tidak dibenarkan menggunakan gelaran atau gambaran yang boleh memperdayakan orang awam supaya mempercayai bahawa mereka layak atau mempunyai autoriti untuk mengamalkan perubatan atau menjalankan pembedahan.
Thirunavukarasu turut menyatakan apabila doktor tidak berdaftar menggunakan gelaran tersebut dalam konteks perubatan, sama ada secara bersemuka atau di alam maya, wujud risiko nyata masyarakat akan terkeliru dan menganggap individu tersebut berdaftar secara sah.
Kebimbangan ini turut dikongsi oleh Shanmuganathan yang berpendapat bahawa risiko kekeliruan ini semakin meruncing dalam persekitaran hari ini, dengan nasihat kesihatan kini dikongsi secara meluas melalui media sosial dan platform komersial.
“Membenarkan penggunaan gelaran ini tanpa batasan jelas berisiko menghakis kepercayaan masyarakat,” katanya.
“Ini bukan bertujuan menyekat pengiktirafan akademik, sebaliknya demi melindungi orang awam dan memelihara integriti profesion perubatan.”