Peguam ditahan disyaki subahat dengan banduan seludup dadah ke Penjara Marang

Peguam ditahan disyaki subahat dengan banduan seludup dadah ke Penjara Marang

Polis berkata peguam itu ditahan selepas seorang banduan keluarkan 12 ketul dadah dalam badannya.

Ketua Polis Terengganu, Mohd Khairi Khairudin berkata, pemeriksaan mesin pengimbas mendapati terdapat objek mencurigakan dipercayai dadah di dalam tubuh badan banduan berkenaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis Terengganu menahan seorang peguam kerana disyaki bersubahat dengan seorang banduan bagi menyeludup sejumlah dadah termasuk ganja, pil kuda dan Erimin 5 ke Penjara Marang.

Ketua Polis Terengganu, Mohd Khairi Khairudin berkata, kejadian itu terbongkar pada 23 Dis lalu selepas pemeriksaan mesin pengimbas oleh pegawai kanan penjara mendapati terdapat objek mencurigakan di dalam tubuh badan banduan berkenaan, lapor Sinar Harian.

Katanya, sebelum pemeriksaan itu banduan berkenaan baru selesai menjalani perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Khairi berkata, banduan terbabit kemudiannya diasingkan dan diletakkan di bawah pemantauan rapi di klinik Penjara Marang sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Merchang pada keesokan harinya bagi pemeriksaan lanjut.

“Pada hari sama banduan terbabit membuang air besar dan mengeluarkan sebanyak 12 ketulan yang disyaki mengandungi dadah jenis pil kuda dan ganja.

“Pada 25 Dis pula, banduan berkenaan sekali lagi mengeluarkan 14 ketulan disyaki mengandungi dadah jenis pil kuda dan Erimin 5,” katanya.

Katanya, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ialah 123g pil yaba, 21g ganja dan 13g Erimin 5 dengan nilai dianggarkan RM16,000, yang boleh digunakan oleh kira-kira 800 orang penagih.

Susulan kejadian itu, pihak penjara membuat laporan polis di IPD Marang dan seterusnya membawa kepada penahanan peguam berusia 32 tahun tersebut bagi membantu siasatan.

Khairi berkata ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah dan suspek direman enam hari hingga 4 Jan depan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 107(c) dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Khairi berkata, polis turut mengesan seorang wanita bernama Nurul Norasikin Aldin, 30, yang beralamat di A-808, Kampung Batin, Seberang Takir di Kuala Nerus supaya tampil bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Beliau berkata, peguam terbabit juga disiasat dalam satu kes lain melibatkan kurungan salah dan pemaksaan menyerahkan harta di sebuah bengkel kereta di Paka, Dungun pada bulan lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.