
Menurutnya, pendirian Pemuda Umno dalam konvensyen khas sayap terbabit semalam adalah suara majoriti akar umbi, bukannya dibuat atas kapasiti individu.
“Sebagai pemimpin, kita wajib bercakap suara akar umbi di bawah,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan Pemuda Umno Jeli, Wan Mahussin Wan Zain, yang menolak gesaan sayap itu supaya Umno menarik diri daripada kerajaan perpaduan untuk bekerjasama dengan PAS.
Beliau dilaporkan berkata, langkah itu tidak akan menguatkan Umno dan menyelamatkan Melayu, sebaliknya hanya terus melemahkan pengaruh parti.
“Siapa tak suka penyatuan bangsa, siapa tak suka tengok orang Islam duduk bersama. Tapi persoalannya, selama ini kita bertanding pilihan raya Umno lawan PAS. Umno tidak pernah lawan DAP.
“Sama juga dengan PAS, jadi kolam kita, DAP cari undi dia, kita cari undi kita. Undi kita dalam kalangan PAS. Pengundi PAS ada dalam Umno, pengundi Umno ada dalam PAS. Tapi kita letakkan kesalahan pada DAP, bagi saya ini tidak adil,” kata Wan Mahussin yang juga AJK Umno Jeli.
Akmal berkata, bantahan Wan Mahussin itu mungkin disebabkan beliau tidak mendapat maklumat keseluruhan apa yang dibincangkan dalam konvensyen khas semalam.
“Pemuda meraikan pendapat (Wan Mahussin). Mungkin sebab dia tidak datang konvensyen semalam dan dengar sendiri intipati semua (pemimpin) yang bercakap dalam konvensyen.”