Dakwa disamun di Genting, polis siasat warga asing buat laporan palsu

Dakwa disamun di Genting, polis siasat warga asing buat laporan palsu

Siasatan dapati kejadian dilaporkan tidak berlaku, sebaliknya pengadu rugi RM10,000 selepas berjudi.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Zaiham Mohd Kahar
 Ketua Polis Bentong Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya terima laporan pada kira-kira 10.30 malam daripada seorang wanita warga asing berusia 25 tahun. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Seorang wanita warga asing disiasat kerana membuat laporan polis palsu mendakwa dirinya disamun di depan sebuah hotel di Genting Highlands semalam, sehingga kerugian RM10,000.

Ketua Polis Bentong Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan pada kira-kira 10.30 malam daripada seorang wanita berusia 25 tahun.

Menurutnya, wanita itu mendakwa dirinya disamun oleh dua wanita warga asing kira-kira 5.30 petang hari sama di depan lif sebuah hotel di kawasan itu.

“Bagaimanapun, siasatan mendapati kejadian samun yang dilaporkan itu tidak wujud berdasarkan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” katanya dalam kenyataan.

Zaiham berkata, siasatan lanjut mendapati wanita itu berjudi di sebuah pusat perjudian dan kerugian RM10,000 sebelum membuat laporan polis palsu bagi mengelak dimarahi teman lelakinya.

Selain itu, beliau berkata, wanita itu juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri semasa siasatan dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu dengan niat menyebabkan penjawat awam menggunakan kuasa sah di sisi undang-undang yang mendatangkan bencana kepada orang lain.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara hingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya,” katanya.

Zaiham berkata, wanita itu turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tidak memiliki pasport yang sah untuk masuk dan tinggal di Malaysia, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.