Mesyuarat MT PN lewat kerana krisis Bersatu, bimbang terhadap PAS, kata penganalisis

Mesyuarat MT PN lewat kerana krisis Bersatu, bimbang terhadap PAS, kata penganalisis

PAS di kedudukan baik untuk terajui PN tetapi parti komponen bimbang ia risiko jejaskan sokongan pengundi bukan Melayu.

Pengerusi PAS Hadi Awang menggesa satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN diadakan segera bagi bincang peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi.
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis percaya kebanyakan parti komponen Perikatan Nasional (PN) melengah-lengahkan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) untuk membincangkan peletakan jawatan pengerusinya, Muhyiddin Yassin, kerana bimbangan kemungkinan PAS mengambil alih jawatan tersebut.

Bagaimanapun, seorang lagi penganalisis berkata perebutan kuasa dalam Bersatu antara Hamzah Zainudin dan Muhyiddin juga menjadi satu lagi punca kelewatan tersebut.

PAS berada dalam kedudukan baik untuk mengambil alih kepimpinan PN memandangkan jumlah Ahli Parlimennya lebih besar berbanding parti komponen lain.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata kebimbangan terhadap PAS berpunca daripada risiko PN yang dipimpin parti itu akan menjauhkan pengundi bukan Melayu, segmen penting yang cuba didekati gabungan itu untuk bentuk kerajaan persekutuan.

Beliau berkata Muhyiddin memang mengetahui bahawa peletakan jawatannya pada 1 Jan memerlukan persetujuan MT PN untuk ‘berkuat kuasa sepenuhnya’, dan parti-parti komponen lain akan rasa keberatan untuk berbuat demikian kerana PAS bakal ambil alih teraju PN.

Beliau menambah adalah ‘sangat luar biasa’ kerana mesyuarat masih belum dipanggil walaupun hampir dua minggu Muhyiddin melepaskan jawatan itu.

“Tidak hairanlah PAS begitu lantang menuntut untuk mengambil alih PN, kerana mereka tahu mereka tidak dapat memperoleh undi sebulat suara daripada MT,” katanya kepada FMT.

“Saya fikir apabila Muhyiddin meletakkan jawatan, beliau tahu PAS tidak mampu mendapatkan undi sebulat suara untuk calon PAS menjadi pengerusi PN yang baharu.

“Dan mesej tersirat daripada pemimpin (PN) yang lain bahawa tiada keperluan mendesak untuk mengadakan mesyuarat, yang secara teknikalnya bermaksud Muhyiddin masih pengerusi, walaupun PAS menyatakan kesediaan untuk mengambil alih kepimpinan,” kata Azmi.

Presiden PAS, Hadi Awang menggesa supaya mesyuarat tergempar MT PN diadakan bagi mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi gabungan dan melantik penggantinya.

Timbalan pengerusi PN itu turut menyatakan bahawa sudah 10 hari berlalu sejak Muhyiddin melepaskan jawatan pada 1 Jan, namun MT masih belum bermesyuarat.

Ketua Pemuda Bersatu, Hilman Idham, menepis perkara itu dengan berkata Hadi perlu memberi ruang kepada parti-parti komponen membuat keputusan masing-masing terlebih dahulu sebelum memanggil mesyuarat MT PN.

Hilman juga berkata peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi PN masih belum berkuat kuasa sepenuhnya kerana perlembagaan gabungan itu menetapkan bahawa peletakan jawatan hanya berkuat kuasa selepas dipersetujui oleh MT.

Peletakan jawatan Muhyiddin berlaku susulan pergolakan politik di Perlis yang menyaksikan jawatan menteri besar berpindah daripada PAS kepada Bersatu, serta PAS memilih untuk tidak menyertai kerajaan negeri baharu.

Perebutan kuasa Bersatu di sebalik kelewatan

Penganalisis politik Universiti Tasmania, James Chin, percaya perebutan kuasa dalam Bersatu merupakan punca lebih besar kepada kelewatan mesyuarat MT PN.

Chin berkata Bersatu sedang sibuk dengan ketegangan dalaman, dengan Timbalan Presiden Hamzah Zainudin didakwa cuba menyingkirkan Muhyiddin sebagai presiden parti, satu langkah yang telah lama diperkatakan dan mengakibatkan pemecatan dua Ahli Parlimen.

“Jelas sekali, perkara seperti ini tidak boleh dilengah-lengahkan kerana ia kelihatan sangat teruk, seolah-olah gabungan itu tidak diurus dengan baik dan tidak mampu memilih pengerusi baharu. Jadi kelewatan ini menjadikan PN kelihatan sangat, sangat teruk.

“Saya tidak terkejut Hadi menggesa mesyuarat segera diadakan. Ia boleh ditafsirkan bahawa beliau mempunyai gambaran jelas mengenai calon yang akan disokong PAS atau parti itu mempunyai bilangan yang mencukupi untuk memastikan calon mereka menjadi pengerusi PN yang baharu,” katanya.

Azmi berkata Muhyiddin sepatutnya menjadi pihak yang memanggil mesyuarat kerana peletakan jawatannya sebagai pengerusi PN masih belum berkuat kuasa.

Chin pula berkata perkara menarik untuk diperhatikan ialah sama ada pemimpin Bersatu dalam MT akan hadir sekiranya mesyuarat tergempar dipanggil PAS.

Dikatakan bahawa Takiyuddin Hassan dari PAS boleh memanggil mesyuarat itu kerana beliau merupakan timbalan setiausaha agung PN dan oleh itu beliau memangku jawatan setiausaha agung susulan peletakan jawatan Azmin Ali.

“Jika mereka tidak hadir, adakah ini bermakna MT tidak boleh membuat keputusan dan satu lagi mesyuarat perlu dipanggil?” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.