
Sanusi, yang juga menteri besar Kedah, berkata tiada tekanan daripada parti itu untuk Muhyiddin meletakkan jawatan berkenaan.
“Tekanan daripada PAS? Tak ada,” katanya menurut Sinar Harian.
Terdahulu, bekas setiausaha sulit kanan presiden Bersatu itu, Marzuki Mohamad dilaporkan berkata desakan berterusan supaya Muhyiddin berundur menjadi pencetus kepada keputusan tersebut, namun ‘beliau membuat pilihan yang rasional untuk dirinya sendiri’.
Katanya, Muhyiddin sebenarnya telah menyatakan hasrat untuk berundur namun tekanan yang memuncak dalam kalangan pimpinan tertentu Pas mempercepatkan keputusan berkenaan.
Mengulas lanjut, Sanusi berkata persoalan mengenai siapa yang bakal menerajui PN selepas ini hanya akan diputuskan menerusi mesyuarat rasmi gabungan itu.
Memberi bayangan tidak berminat untuk menggalas tanggungjawab tersebut, beliau turut berkata sebarang keputusan berkaitan hala tuju kepimpinan tidak wajar diumumkan secara terbuka atau berasingan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan ahli dan penyokong.
“Kita kena mesyuarat, tak boleh cakap seorang-seorang di luar. Bincang dalam mesyuarat, buat keputusan dalam mesyuarat dan kemudian (baru) umum,” katanya.
Sabtu lalu, FMT melaporkan bahawa perasaan tidak senang berhubung potensi Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar menjadi pengerusi PN mencetuskan desas-desus mengenai Muhyiddin kembali sebagai kemudi.
Sumber dalaman PN mendakwa, beberapa pemimpin Bersatu tidak selesa dengan idea seorang naib presiden parti menerajui gabungan pembangkang itu. Mereka berhujah bahawa PN sepatutnya dipimpin seorang presiden parti seperti yang diamalkan oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Terdapat gesaan daripada pemimpin PAS supaya parti itu menerajui PN sejak Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan daripada jawatan tersebut, yang disandangnya selama lima tahun lalu, di tengah-tengah ketegangan dalam gabungan pembangkang itu.