JPJ lucut hak kereta ‘ulat’

JPJ lucut hak kereta ‘ulat’

Agensi itu berkata aktiviti kereta sewa tidak berlesen di KLIA mampu kaut sampai RM1,000 sehari.

Muhammad Kifli Ma Hassan
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata aktiviti berkenaan popular dan berleluasa di KLIA Terminal 1 dan 2. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bertindak melucut hak kenderaan pesalah kali kedua ‘ulat’ kerana menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau haram di pintu masuk negara.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa, Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata aktiviti itu popular dan berleluasa di KLIA Terminal 1 dan 2 kerana dipercayai mampu menjana pendapatan lumayan RM500 hingga RM1,000 sehari.

“Berdasarkan siasatan, satu hari mereka boleh dapat antara RM500 hingga RM1,000. Jadi kalau katakan mereka buat aktiviti mengulat ni berterusan 20 hari dalam sebulan, mereka boleh menampung denda mahkamah,” katanya menurut Bernama pada sidang media di Sepang.

Katanya, 573 tangkapan berkaitan kegiatan ‘ulat’ Terminal 1 dan Terminal 2 dengan kutipan denda lebih RM2 juta bagi tempoh 2023 hingga 2025.

“(Kegiatan) ‘Ulat’ ini menawarkan perkhidmatan kereta sewa kepada orang awam yang tiba di balai ketibaan dengan mengenakan caj penghantaran tinggi antara RM80 hingga RM150 ke Kuala Lumpur dan sekitarnya berbanding teksi biasa atau limo antara RM65 hingga RM80 sahaja.

“Kami telah berjaya mengambil tindakan (lucut hak) yang pertama pada tahun lalu. Mulai tahun ini, mana-mana kereta ditahan atas aktiviti mengulat untuk kali kedua dan seterusnya, kami akan kenakan tindakan pelucutan hak.”

Beliau berkata, JPJ memandang serius kegiatan bersifat pentingkan diri dengan mengaut keuntungan secara haram, dan hari ini, pihaknya telah menahan tiga warga tempatan kerana menjalankan aktiviti ulat di KLIA Terminal 1.

“Aktiviti ini juga merupakan gejala negatif yang boleh merosakkan imej negara dan mendatangkan implikasi kepada ekonomi terutamanya dalam sektor pelancongan dan pengangkutan awam,” katanya.

Individu didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, yang memperuntukkan denda hingga RM50,000 atau dipenjarakan maksimum lima tahu atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kenderaan juga boleh disita dan dilucut hak mengikut Seksyen 227 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.