
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Afif Bahardin berkata cadangan Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah itu adalah munasabah.
Kerusi DUN Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping) diisytiharkan kosong oleh Speaker Rus’sele Eizan selepas keanggotaan mereka ditamatkan PAS kerana didakwa menarik sokongan terhadap menteri besar ketika itu, Shukri Ramli.
Shukri merupakan Adun PAS bagi Sanglang.
Fadhli sebelum ini menegur Abu Bakar berhubung cadangan tersebut, dengan berkata beliau sepatutnya memberi tumpuan kepada pentadbiran negeri dan tidak campur tangan dalam urusan dalaman parti lain.
Bagiamanapun, Afif mempertahankan cadangan Abu Bakar, yang disifatkannya sebagai ‘munasabah’.
“Fadhli tidak perlu terlalu sensitif. Sebagai seseorang yang kini bertanggungjawab terhadap kebajikan rakyat Perlis dan kestabilan kerajaan negeri, beliau (Abu Bakar) perlu menunjukkan kepimpinan dan bersuara mengenai kedudukan tiga Adun itu,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata isu itu adalah perkara negeri, sama ada dari segi pentadbiran atau politik, dan Bersatu sedang berusaha untuk mencari titik persamaan dalam Perikatan Nasional.
Afif berkata lawatan terbaru Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin ke Perlis, termasuk kunjungan hormat ke atas Mursyidul Am PAS Hashim Jasin, sebagai contoh kepimpinan.
“Itulah yang dinamakan kepimpinan. Bergerak ke hadapan dan fokus untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya, sambil berkata, Fadhli perlu belajar daripada tokoh kanan dalam gabungan itu.
Terdahulu hari ini, Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz juga menolak dakwaan bahawa Abu Bakar cuba mencampuri urusan PAS.
Tun Faisal berkata cadangan Abu Bakar itu untuk menyelesaikan isu pentadbiran berkaitan pengagihan peruntukan kepada rakyat di tiga DUN terbabit.
Ridzuan, Fakhrul dan Saad telah memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan speaker DUN di Mahkamah Tinggi Kangar.