
Justeru, beliau berkata Akmal yang juga Adun Merlimau akan terus menjalankan tugasnya sebagai exco kerajaan negeri seperti biasa.
“Saya belum berunding lagi. Buat masa sekarang beliau masih kekal sebagai exco dan perkara peletakan jawatan itu belum dibincangkan dengan Yang di-Pertua Negeri Mohd Ali Mohd Rustam.
“Sama ada diterima atau ditolak, masih belum ada keputusan muktamad,” katanya lapor Sinar Harian.
Beliau ditemui dalam program Hari Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bersama Rakyat (Hebat) Melaka Siri 1/2026 di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh.
Akmal dilihat menyantuni rakyat yang hadir bagi membuat aduan berkaitan bawah portfolio kemajuan desa, pertanian dan keterjaminan makanan dalam program itu.
Pada 19 Jan lalu, Akmal memuat naik video mengemas barangan di pejabat exco kerajaan Melaka, sekali gus memberi isyarat jelas keputusan meletakkan jawatan itu sudah muktamad.
“Saya diangkat ke jawatan ini kerana rakyat. Maka menjadi kewajipan saya mempertahankan suara mereka,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Ia selepas Akmal umum letak jawatan sebagai exco Melaka ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pemuda Umno bulan lalu.
Menurutnya, beliau melepaskan jawatan bagi mempertahankan suara akar umbi dan maruah politik, pada masa menghormati keputusan Umno untuk kekal dalam kerajaan perpaduan.