
Larangan tersebut, bermula dari 8 hingga 22 Feb, termasuk perlawanan suku akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC dan perlawanan Liga Super menentang Kuching City FC.
Kelab itu juga mengumumkan individu yang disabitkan kesalahan atas kes berkaitan dadah dilarang memasuki stadium untuk mana-mana perlawanan Selangor FC selama tiga tahun.
Tindakan disiplin ini bagi menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, selaku penaung kelab, serta nasihat Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, yang juga pengerusi kelab.
“Kelab tidak bertolak ansur terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menjamin ketenteraman dan keselamatan orang awam,” menurut kenyataan.
Kelab itu percaya Ultra Selangor akan mengambil iktibar daripada kejadian itu dan berharap kumpulan penyokong itu akan kembali ke stadium dengan semangat dan azam baharu, serta menjadi teladan dalam memeriahkan suasana bola sepak tempatan.
Dalam kejadian 1 Feb lalu, polis menahan rombongan melibatkan 10 bas memuatkan 412 orang bagi tujuan pemeriksaan dan siasatan, susulan laporan berhubung tindakan sekumpulan penyokong mengadakan perarakan tidak terkawal, menghalang laluan kenderaan awam, serta membakar suar.
Bernama melaporkan seramai 21 individu didapati positif THC, tiga ditahan kerana memiliki dadah disyaki ganja, dan sembilan ditahan kerana memiliki suar.
Pada Selasa, Pejabat Sultan Selangor berkata Sultan Sharafuddin rasa amat dukacita dan kecewa dengan kejadian berkenaan.
Katanya, Sultan Sharafuddin tidak berkenan dengan kegiatan tidak bermoral seperti budaya samseng dan gangsterisme dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan, khususnya yang memakai jersi pasukan Selangor FC.