

Marsya Dalili Muhamad Zaidi, 25, berkata bekerja di bandar dengan gaji permulaan kecil pastinya membebankan dirinya serta kelompok orang muda yang lain.
“Bagi yang gaji tak berapa tinggi, bantuan ini membantu untuk kelangsungan hidup.
“Walaupun nampak tak banyak, tapi boleh lagi untuk ‘sara’ kita yang baru nak mula kerja ini,” kata graduan bidang kewangan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang kini bekerja dalam sektor peruncitan.
Selaras pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2026, SARA 2.0 disalurkan mulai 9 Feb lalu yang akan dinikmati lebih 22 juta pemegang MyKad dan sah digunakan sehingga 31 Dis.
Orang ramai boleh menyemak status pengkreditan melalui portal rasmi SARA.

Bagi Siti Zulaiha Aslan, 23, yang menetap jauh dari keluarganya di Sabah, peluasan kepada kategori barangan sejuk beku disifatkan satu perubahan besar.
Dia yang biasanya membeli sabun dan barangan masakan harian menggunakan bantuan itu kini beralih kepada persediaan stok makanan untuk bulan Ramadan yang bakal menjelma.
“Saya duduk seorang, jadi untuk Ramadan nanti saya akan fokus beli makanan ‘frozen’ supaya cepat nak masak untuk sahur atau berbuka.

“Tak perlu susah-susah sediakan bahan-bahan setiap hari,” katanya yang bersyukur dengan bantuan itu.
Ng Nam Mooi, 68, pula mahu menggunakan bantuan itu untuk membeli persiapan memasak untuk Tahun Baharu Cina seperti telur, mi dan susu.
“Sekurang-kurangnya ringan sikit beban untuk sambutan Tahun Baru Cina ini,” katanya.

Bagi peniaga, Thamil Selvi Ramasamy, 47, beliau menyifatkan bantuan SARA sebagai inklusif kerana turut meraikan kepelbagaian kaum melalui pemberian pada musim perayaan.
“Sebelum ini masa Deepavali ada bantuan untuk kaum India, kini, ada juga untuk kaum Melayu (Ramadan) dan Cina (Tahun Baru Cina).
“Saya ada tiga anak yang masih belajar. Seorang dapat RM100, satu keluarga sudah ada RM400. Itu sudah cukup, sangat membantu,” tambahnya.