Budak 4 tahun lemas jatuh kolam ikan

Budak 4 tahun lemas jatuh kolam ikan

Ayyash Ahmad Sajid Ahmed bermain pasir di kawasan kolam ikan itu sebelum terjatuh, menurut polis.

Ayyash Ahmad Sajid Ahmed, 4, disahkan meninggal dunia di Hospital Jitra malam tadi, selepas terjatuh ke dalam kolam ikan berhampiran rumahnya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang budak lelaki berusia empat tahun lemas selepas dipercayai terjatuh dalam kolam ikan di dekat Kuala Nerang, Kedah, petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Padang Terap Affzanisham Mohammad Sham berkata, ibu bapa kanak-kanak itu memaklumkan mangsa, Ayyash Ahmad Sajid Ahmed, bermain pasir di kawasan kolam ikan berhampiran rumah mereka di Kampung Perik sebelum disedari hilang.

“Mereka kemudian menemukan kasut mangsa terapung di dalam kolam ikan itu sebelum mendapati mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat terjatuh ke dalam kolam,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia pada 11 malam.

Affzanisham berkata, bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat lemas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.