
Peguam Shafee Abdullah ketika mengesahkannya berkata, tokoh berusia 90 tahun itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira 11.11 pagi, selepas dibenarkan keluar dari hospital semalam.
“Beliau keluar dari hospital atas permintaan keluarga supaya dapat berada di rumah,” kata Shafee kepada FMT.
Katanya, beliau mula mengenali Shaik Daud pada awal 1980-an, ketika Allahyarham bertugas sebagai timbalan pendakwa raya.
“Beliau adalah hakim perbicaraan dan hakim rayuan terbaik yang pernah saya depani (di mahkamah),” kata Shafee.
“Allahyarham merupakan antara hakim yang paling terbilang,” kata Shafee sambil menarik perhatian bahawa banyak kes bersejarah dibicarakan di hadapannya, termasuk kes Kerry Wiley yang sering dirujuk, melibatkan seorang warga Amerika Syarikat yang dituduh mengedar dadah.
Shaik Daud dilahirkan di Pulau Pinang memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada 1963. Beliau dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi pada 1983 dan bersara daripada Mahkamah Rayuan pada 2001.
Sementara itu, bekas hakim Mahkamah Rayuan, Hamid Sultan Abu Backer, menyifatkan Shaik Daud antara hakim paling dihormati, sentiasa mempamerkan integriti, ilmu pengetahuan, dan kesabaran tinggi ketika mendengar hujah peguam, terutamanya dalam kes jenayah.
“Beliau juga menyampaikan penghakiman bertulis bernas dan pantas,” katanya sambil mengimbau pengalaman semasa berhujah di hadapan Shaik Daud ketika masih seorang peguam.