Pilih ahli majlis dulu, kemudian tentu datuk bandar, kata Nik Nazmi

Pilih ahli majlis dulu, kemudian tentu datuk bandar, kata Nik Nazmi

Ahli Parlimen Setiawangsa berkata kaedah itu sama seperti pemilihan perdana menteri, menteri besar atau ketua menteri.

Pilihan raya datuk bandar bantu wujudkan sistem lebih bertanggungjawab terus kepada rakyat dalam selesai isu di Kuala Lumpur, menurut Nik Nazmi Nik Ahmad.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad mencadangkan pilihan raya ahli majlis di Kuala Lumpur diperkenal yang kemudian akan memilih datuk bandar dalam kalangan mereka.

Wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) secara peribadi berpandangan, kaedah itu lebih mudah dilaksanakan dan sama seperti pemilihan perdana menteri, menteri besar atau ketua menteri iaitu individu menikmati sokongan terbanyak di Parlimen atau DUN.

“Saya punya kecenderungan ialah kita pilih (secara pilihan raya) ahli majlis dan mereka akan pilih datuk bandar dalam kalangan mereka.

“Sama macam pilih PM atau menteri besar. Itu saya rasa lebih mudah,” katanya dalam temu bual FMT.

Beliau turut menekankan pemilihan majlis dapat mengelakkan kebergantungan terhadap datuk bandar sahaja.

Polemik berkait pilihan raya datuk bandar Kuala Lumpur yang melarat sehingga menjadi isu perkauman bermula selepas kerajaan mendedahkan kajian kebolehlaksanaanya sedang dilaksanakan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, menegaskan kajian perlu dilakukan secara menyeluruh sebelum keputusan dibuat.

Beliau turut mempersoalkan kebimbangan segelintir pihak terhadap proses kajian yang menurutnya penting bagi memastikan sesuatu dasar digubal berdasarkan fakta dan data yang tepat.

Minggu lalu, Yeoh turut berkongsi UIAM sedang menyediakan draf laporan akhir kajian Akta Ibu Kota Persekutuan, antaranya penelitian cadangan pilihan raya pihak berkuasa tempatan di ibu kota termasuk pemilihan datuk bandar Kuala Lumpur.

Bantahan politik terhadap pilihan raya majlis kerajaan tempatan itu juga kerana ia sering digambarkan sebagai agenda DAP, susulan gesaan pemimpinnya supaya diperkenalkan semula selepas digantung sejak 1965.

Pada 2008, kerajaan Pulau Pinang dan Selangor yang dipimpin Pakatan Harapan (PH) cuba menghidupkan semula pilihan raya itu bagi menunaikan janji manifesto, namun usaha tersebut tidak berhasil.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata perubahan dasar memilih datuk bandar harus dilihat dari sudut usaha mewujudkan sistem lebih bertanggungjawab terus kepada rakyat dalam menyelesaikan pelbagai isu berbangkit.

Menurutnya, ketika ini datuk bandar yang dilantik atas perkenan Yang di-Pertuan Agong menerusi nasihat menteri Wilayah Persekutuan dilihat bertanggungjawab ke atas menteri.

“Bagi saya kita perlu satu sistem yang mana datuk bandar bertanggungjawab kepada rakyat ataupun melalui sistem ahli majlis tetapi ada kebertanggungjawaban ke bawah.

“Kita tengok banyak sangat isu-isu asas di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang terlepas pandang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.