
Menerusi hantaran di Facebook, Malek berkata mendiang disemadikan mengikut istiadat pengebumian tentera bersebelahan pusara bapanya, C Kayamboo, daripada tentera udara.
“Mejar (kini Lt Kol) C Kayamboo merupakan juruterbang yang terkorban dalam nahas pesawat Beechcraft B200T pada 2016. Pengorbanan dua generasi ini bukan sekadar catatan sejarah keluarga, tetapi lambang kesetiaan dan keberanian yang terpahat dalam jiwa seorang perwira dan perajurit.
“Saya amat tersentuh dengan ketabahan ditunjukkan ahli keluarga mendiang. Semoga keluarga mendiang terus diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang sukar ini… pengorbanan mendiang akan sentiasa dikenang,” katanya.
Malek berkata tentera akan sentiasa berdiri teguh bersama waris-waris perwira dan perajurit negara.
Pada 18 Feb lepas, Indiran, 22, yang sedang mengikuti kursus di Rejimen Pertama Kor Armor Diraja Kem Batu 10 Kuantan, Pahang ditemukan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan dan disahkan meninggal dunia sehari kemudian ketika menerima rawatan.