LKAN dedah 273 isu baharu peringkat persekutuan, negeri

LKAN dedah 273 isu baharu peringkat persekutuan, negeri

Ketua Audit Negara Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata fokus utama audit kali ini berkaitan isu ketakteraturan serius dalam kutipan hasil yuran dan perbelanjaan di UKM.

2025 Accounting Fraud Working Group KKFP
Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata bagi tempoh 2024 hingga Disember 2025, pelaksanaan sistem Papan Pemuka dalam Talian Ketua Audit Negara menyumbang pemulihan hasil dan bayaran balik kerajaan berjumlah RM316.68 juta.
KUALA LUMPUR:
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini mendedahkan 273 isu baharu melibatkan pengurusan kewangan serta tadbir urus di peringkat persekutuan dan negeri, kata Ketua Audit Negara Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Beliau berkata laporan itu dibentang selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan terdiri daripada 15 naskhah melibatkan Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2024, aktiviti kementerian, jabatan serta badan berkanun persekutuan selain aktiviti kementerian, jabatan dan agensi negeri termasuk pengurusan syarikat kerajaan negeri.

Wan Suraya berkata semua isu boleh diakses melalui Papan Pemuka dalam Talian Ketua Audit Negara atau Auditor General’s Dashboard (AGD) bagi memastikan pemantauan dan tindakan susulan audit dilaksanakan secara berterusan oleh kementerian, jabatan, agensi serta syarikat di peringkat persekutuan dan negeri.

“Bagi tempoh 2024 hingga Disember 2025, pelaksanaan sistem (AGD) ini telah menyumbang kepada pemulihan hasil dan bayaran balik kerajaan berjumlah RM316.68 juta.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM221.52 juta merupakan kutipan daripada agensi persekutuan merangkumi tuntutan penalti, tunggakan sewa, pajakan tanah serta kutipan duti dan cukai,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2024, Wan Suraya berkata setakat 9 Jan lepas, sebanyak 143 daripada 145 penyata kewangan telah dikemukakan untuk pengesahan dan selesai pensijilan, dengan 128 menerima Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Tanpa Teguran manakala 15 lagi menerima Pendapat Diubah Suai.

Beliau berkata Fokus Utama Audit bagi LKAN kali ini ialah berkaitan isu ketakteraturan serius dalam kutipan hasil yuran dan perbelanjaan di Universiti Kebangsaan Malaysia yang berlaku apabila perjanjian kerjasama dibuat tanpa kelulusan menteri kewangan selaras dengan peruntukan perlembagaan universiti itu, selain wujud perbelanjaan yang tidak mematuhi prosedur kewangan ditetapkan.

“Isu ketakteraturan serius itu telah dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Ketakteraturan Serius Bil.1 Tahun 2026 pada 6 Feb lepas selaras dengan peluasan kuasa Ketua Audit Negara di bawah subseksyen 9(4) Akta Audit 1957 bagi membolehkan syor dikemukakan untuk menangani ketakteraturan dalam pengakaunan atau penjagaan wang awam,” katanya.

Wan Suraya juga berkata pindaan Akta Audit 1957 turut memperluas kuasa Jabatan Audit Negara untuk mengaudit badan lain termasuk syarikat yang menerima kepentingan awam, dengan 1,856 badan telah diwartakan bagi tujuan pengauditan melalui pendekatan Follow The Public Money Audit.

Beliau berkata hasil audit melalui Sistem e-SelfAudit mendedahkan terdapat syarikat yang menjalankan aktiviti tidak selaras dengan objektif penubuhan, syarikat yang tidak membayar dividen walaupun mencatat keuntungan dan syarikat yang berdepan isu usaha berterusan walaupun menerima sokongan kewangan kerajaan.

“LKAN 1/2026 turut melaporkan hasil pengauditan prestasi pelaksanaan program berimpak tinggi termasuk Program Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi serta perbelanjaan Projek Pembangunan MyDigital ID, selain pengauditan aktiviti kementerian, jabatan dan agensi negeri,” katanya.

Wan Suraya turut memaklumkan bahawa orang awam boleh mengakses LKAN 1/2026 peringkat Persekutuan melalui laman sesawang Jabatan Audit Negara di https://lkan.audit.gov.my bermula 10 pagi ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.