Mahkamah tolak rayuan pendakwah lanjut tempoh tauliah

Mahkamah tolak rayuan pendakwah lanjut tempoh tauliah

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Majlis Agama Islam Selangor berhak menetapkan peraturan menghalang pendakwah terbabit dalam politik.

Court of Appeal Mahkamah rayuan
Mahkamah Rayuan menolak rayuan Ahmad Dusuki Abd Rani terhadap keputusan Majlis Agama Islam Selangor yang enggan memberikan tauliah mengajar kepada beliau di negeri itu.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan Malaysia menolak rayuan pendakwah bebas, Ahmad Dusuki Abd Rani, untuk memaksa Majlis Agama Islam Selangor (Mains) melanjutkan tauliah mengajarnya yang tamat tempoh tiga tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Zaini Mazlan berkata mahkamah tidak boleh menggantikan keputusan pihak berkuasa awam dalam perkara melibatkan budi bicara.

“Perintah mandamus yang dipohon akan memaksa pelaksanaan suatu kewajipan awam yang masih berkuat kuasa. Ia tidak boleh menghidupkan semula kelulusan yang telah luput melainkan wujud kewajipan statutori untuk mengembalikannya,” katanya.

Ahmad Dusuki Abd Rani
Ahmad Dusuki Abd Rani.

Zaini berkata Dusuki gagal mengenal pasti sebarang peruntukan undang-undang yang mewajibkan majlis itu mengembalikan tauliah yang telah tamat tempoh.

Beliau turut berkata perayu tidak membuktikan wujud hak undang-undang untuk tauliah itu diperbahrui secara automatik, dan perintah mandamus yang dipohon membolehkannya memperoleh lanjutan tanpa perlu mengemukakan permohonan baharu.

“Kami berpendapat relif sedemikian akan memintas rangka kerja kawal selia yang mengawal pemberian tauliah,” katanya.

Zaini yang bersidang bersama Hakim Alwi Abdul Wahab dan Evrol Mariette Peters berkata Mahkamah Tinggi tidak melakukan sebarang kesilapan yang mewajarkan campur tangan mahkamah rayuan.

Dusuki yang diwakili Jamil Yaacob dan Ashok K Raman turut diperintahkan membayar kos RM35,000 kepada Mains dan jawatankuasa tauliah selaku responden.

Beliau sebelum ini diberikan tauliah mengajar agama Islam di Selangor oleh responden, yang kemudian dibatalkan pada 3 Mac 2022, walaupun ia sepatutnya tamat pada 30 Jun 2023.

Dusuki memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi mencabar pembatalan itu dan memohon supaya mahkamah memaksa responden melanjutkan tauliah berkenaan.

Beliau juga menuntut ganti rugi dan satu deklarasi bahawa responden tidak boleh menghalangnya daripada mengajar di negeri itu atas alasan penglibatannya dalam politik.

Pada 5 Okt 2023, Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan Mains tersebut dan memutuskan ia terbatal dan tidak sah.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi enggan melanjutkan tempoh sah tauliah melebihi tarikh tamat asal atau memberikan deklarasi yang dipohon, sekali gus membawa kepada rayuan ini.

Zaini berkata Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf menerima penjelasan responden bahawa mereka berhak menahan kebenaran atas faktor penglibatan Dusuki dalam politik.

“Kami bersetuju bahawa responden berhak menetapkan peraturan sedemikian di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003,” katanya.

Mahkamah Rayuan turut menyatakan bahawa salah laku undang-undang awam tidak secara automatik melayakkan seseorang mendapat ganti rugi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.