
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata tangkapan itu dibuat kurang 24 jam selepas kejadian.
“Proses soal siasat sedang dijalankan,” katanya di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan Siti Zailah Yusoff (PN-Rantau Panjang) berhubung keselamatan anggota keselamatan sempadan susulan kes tembakan itu.
Dalam kejadian 5.40 pagi semalam, dua lelaki bermotosikal menghampiri Proton X70 dipandu Nasaruddin dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat subuh, sebelum melepaskan beberapa das tembakan.
Nasaruddin terselamat dalam kejadian itu dan polis percaya serangan berkenaan bertujuan menakutkan pasukan penguat kuasa yang aktif melakukan operasi di sempadan negara.
Saifuddin menegaskan kerajaan tidak akan tunduk kepada sebarang ancaman terhadap keselamatan negara.
Pembaharuan permit masuk
Saifuddin memaklumkan pembaharuan dilakukan kementeriannya ke atas sistem permit masuk membabitkan penyelesaian 19,205 permohonan permit masuk tertunggak dari 2013 hingga 2025.
Beliau turut merujuk dasar 2025, di mana warga asing perlu berkahwin dengan rakyat Malaysia sekurang-kurangnya tiga tahun – berbanding lima tahun sebelum ini – untuk memohon menjadi pemastautin tetap.
Katanya, permohonan permit masuk boleh dibuat dalam talian melalui Sistem Imigresen Bersepadu Nasional sebaik sahaja ia beroperasi sepenuhnya.
Menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) berhubung langkah kerajaan menyelaras dasar permit masuk dengan keperluan tenaga kerja strategik negara untuk sektor berimpak tinggi, beliau berkata, Peraturan Imigresen 1963 menetapkan hanya individu mempunyai kepakaran profesional yang boleh bekerja di Malaysia perlu diberikan pas masuk.
Menurutnya, pas ekspatriat dan pas lawatan profesional dikeluarkan kepada warga asing mempunyai kepakaran profesional yang boleh memanfaatkan negara.
Tetapi, jelasnya, kerajaan memastikan dasar ini tidak menjejaskan bakat tempatan.
“Kepakaran profesional mereka memberikan nilai tambah yang boleh dipelajari bakat tempatan.”