RM3.1 juta syabu simpan di inap desa dirampas

RM3.1 juta syabu simpan di inap desa dirampas

Polis menahan seorang lelaki Indonesia disyaki penjaga stor dadah terbabit dan pasangan suami isteri dipercayai menyewa rumah inap desa itu.

Ketua Polis Kedah Adzli Abu Shah (tengah) dalam sidang media di IPK Kuala Muda susulan rampasan 62kg syabu di sebuah inap desa di Kampung Permatang Rengan Selasa lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis merampas 62kg syabu bernilai kira-kira RM3.1 juta selepas menyerbu sebuah inap desa di Kampung Permatang Rengan, Kota Kuala Muda, Sungai Petani yang dijadikan stor, kelmarin.

Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah, berkata seorang warga Indonesia berusia 47 tahun yang dipercayai penjaga stor dadah itu ditahan di tepi jalan kampung berkenaan dalam serbuan pertama kira-kira 6.30 petang Selasa.

Menurutnya, pemeriksaan awal ke atas suspek menemui 150g syabu dan kunci inap desa, sebelum polis memeriksa sebuah inap desa berhampiran.

“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan 62kg syabu dianggarkan bernilai RM3.1 juta yang disorokkan di bawah katil dalam salah sebuah bilik,” katanya menurut Berita Harian di IPD Kuala Muda.

“Sewaktu pemeriksaan di inap desa, tiada individu lain dan suspek dipercayai menjadi penjaga stor dengan bayaran sekitar RM116, iaitu Rp500,000 bagi setiap kilogram dadah.”

Susulan itu, beliau berkata, polis menahan sepasang suami isteri berusia 42 dan 32 tahun di Penaga, Pulau Pinang pada 11 malam tadi, yang dipercayai menyewa rumah inap desa terbabit.

Adzli berkata, lelaki Indonesia dan pasangan itu tiada rekod jenayah lampau serta ujian saringan air kencing juga negatif dadah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.