
Tertuduh, Sukry Tasu, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Aiman Azahan, lapor Berita Harian.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap anggota tentera Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, 24, mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda jika sabit kesalahan.
Kesalahan didakwa dilakukan di stor senjata Kompeni C, Kem Tentera Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), kira-kira 8.30 malam, 30 Mac 2026.
Mengikut enam lagi pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kecederaan terhadap enam lagi mangsa iaitu Mohamad Atiqillah Taugek Rashidi, Muhammad Syakirin Yaacob, Muhammad Azman Shah Ismail, Nik Amir Zaqwan Nik Asrizal, Muhammad Irfan Aiman Mohd Tajudin dan Muhammad Danial Asraf Azizan pada masa, tarikh dan lokasi sama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM7,000 bagi pertuduhan pertama, manakala masing-masing RM2,000 bagi pertuduhan kedua hingga ketujuh dengan satu penjamin.
Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan tertuduh tidak boleh menghampiri atau mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Hafiz Baharudin.
Mahkamah menetapkan 18 Mei depan sebagai tarikh sebutan kes dan serahan dokumen.