
Menteri Perkhidmatan Negara Aaron Ago Dagang, berkata jumlah mediator bertauliah telah meningkat kepada 595, berbanding 571 sebelum ini.
Katanya, perkhidmatan mediasi komuniti itu diperkenalkan bagi mengurus konflik secara pro bono di peringkat kejiranan, justeru mengelak pertikaian menjadi lebih besar tanpa perlu melalui proses litigasi perundangan.
“Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional (Iklin) akan memperkukuh tadbir urus mediasi dengan mengusahakan pewujudan badan atau mekanisme akreditasi bagi pensijilan asas mediasi.
“Inisiatif ini penting bagi memastikan kualiti perkhidmatan mediasi yang lebih terjamin, berstandard tinggi serta diiktiraf, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap peranan mediator dalam menangani isu perpaduan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, perkhidmatan mediasi komuniti akan diperluas di seluruh negara.
Aaron berkata, sejumlah 12 Pusat Mediasi Komuniti akan diwujudkan berbanding hanya sembilan pusat ketika ini.
“Pusat-pusat ini akan berperanan sebagai platform setempat untuk masyarakat mendapatkan khidmat mediasi secara mudah, cepat, dan berkesan dalam menyelesaikan konflik komuniti.”
Antara langkah pemerkasaan mediasi komuniti merangkumi – pelancaran ‘Handbook Kes-kes Mediasi Komuniti’ melibatkan sembilan kluster konflik komuniti antaranya kejiranan; hubungan kekeluargaan; harta milik bersama; isu keagamaan; tanah; alam; perjanjian dan kontrak; ubah suai bangunan serta keselamatan.