
Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Mohammad Syahnis Salleh, berkata pendekatan lebih holistik perlu diambil agar tidak meminggirkan peruncit kecil yang menjadi tulang belakang ekonomi setempat.
“MTEM menyokong usaha meringankan kos sara hidup rakyat, namun kaedah pelaksanaan perlu inklusif dan mampan untuk semua pemain industri,” menurut kenyataan.
Inisiatif Madani Mart dilancarkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu dengan pembukaan cawangan pertama di Indera Mahkota di Kuantan, Pahang.
Madani Mart merupakan konsep kedai komuniti yang menyediakan barangan keperluan harian pada harga berpatutan dan mudah dicapai oleh rakyat, berteraskan slogan ‘Kedai Runcit Harga Rahmah’.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyasarkan sekurang-kurangnya 640 premis di seluruh negara dalam tempoh dua tahun, disokong enam hab pengedaran utama.
Inisiatif diterajui Yayasan Madani ini merupakan strategi kerajaan dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat serta menangani cabaran kos sara hidup secara menyeluruh.
Syahnis menegaskan sektor PKS menyumbang kira-kira 30% kepada KDNK dan menyediakan lebih tiga juta peluang pekerjaan, justeru dana bagi pembukaan outlet baharu wajar disalurkan kepada program transformasi peruncit sedia ada di setiap kawasan DUN.
“Pendekatan ini memberi impak ekonomi lebih meluas berbanding membina rangkaian baharu yang berpotensi bersaing dengan peniaga tempatan,” katanya.
MTEM turut menekankan ketelusan dalam tadbir urus bagi mengelakkan persepsi konflik kepentingan, khususnya melibatkan Yayasan Madani.
“Pengasingan kuasa yang jelas antara pembuat dasar dan pelaksana perniagaan penting untuk menjamin integriti program kerajaan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata bantuan seperti Program Jualan Rahmah perlu diagihkan secara saksama kepada semua peruncit, bukan hanya tertumpu pada Madani Mart.
“Pemberian kelebihan tidak adil kepada satu entiti boleh menjejaskan daya saing peruncit kecil yang tidak mempunyai akses kepada subsidi sama,” katanya.
Syahnis juga membangkitkan kebimbangan terhadap kelestarian jangka panjang projek Madani Mart, termasuk sasaran pembukaan sehingga 600 outlet.
“Sejarah menunjukkan projek berskala besar secara ‘top-down’ sering berdepan cabaran untuk bertahan tanpa pelan perniagaan mampan,” katanya.
MTEM mencadangkan beberapa langkah untuk perkasa PMKS, termasuk geran pendigitalan sehingga RM20,000, rebat lesen perniagaan pihak berkuasa tempatan, serta akses terus kepada pembekal bagi mendapatkan harga borong lebih kompetitif.
Selain itu, program penjenamaan semula kedai sebagai ‘Rakan Madani’, dana mikrokredit tanpa faedah sehingga RM200,000, serta latihan peruncitan moden melalui agensi seperti Institut Keusahawanan Negara.
“Kerajaan juga perlu mengutamakan rundingan dengan persatuan peniaga kecil sebelum melaksanakan projek berskala besar,” katanya.
MTEM berkata pihaknya bersedia untuk berdialog dengan kerajaan dan Yayasan Madani bagi mencari penyelesaian terbaik yang memberi manfaat kepada semua pihak, khususnya usahawan kecil di peringkat akar umbi.