Persatuan pengusaha bas persiaran rayu subsidi diesel 6,000L sebulan

Persatuan pengusaha bas persiaran rayu subsidi diesel 6,000L sebulan

Tiga persatuan pengusaha bas, van persiaran kata ia bagi menyelamatkan industri itu yang menurut mereka berada dalam keadaan 'nazak'.

Tiga persatuan pengusaha bas dan van persiaran dalam sidang media mengenai keadaan industri itu serta merayu bantuan kuota subsidi diesel sebanyak 6,000 liter sebulan.
GOMBAK:
Tiga persatuan pengusaha bas dan van persiaran merayu kerajaan memberikan kuota subsidi diesel sebanyak 6,000 liter sebulan bagi memastikan kelangsungan industri itu yang menurut mereka kini berada dalam keadaan ‘nazak’.

Tuntutan itu melibatkan Persatuan Bas Bumiputera Malaysia (PPBBM), Persatuan Pertubuhan Gemilang Agensi Pelancongan dan Pengusaha Bas Persiaran Malaysia(GAPP) serta Persatuan Van Pelancong Malaysia (PVPM).

Pengerusi PPBBM Mahazir Mat Din berkata, kenaikan harga diesel yang berterusan telah menjejaskan periuk nasi pengusaha selain mengakibatkan kos operasi melambung tinggi sehingga sukar untuk ditanggung.

“Kita memohon (subsidi diesel) sekurang-kurangnya 6,000 liter untuk bas persiaran, manakala 4,000 liter bagi van persiaran,” katanya dalam sidang media.

Mahazir berkata, industri tersebut kini bergantung sepenuhnya kepada pasaran domestik memandangkan kemasukan pelancong asing masih rendah, selain pembatalan banyak jadual penerbangan.

“Apabila pelanggan tempatan dapatkan harga daripada kita, tengok harga naik dua kali ganda, mereka terpaksa batalkan hasrat mereka,” katanya.

Tambahnya, keadaan menjadi lebih sukar bagi pengusaha yang telah mengikat kontrak dengan jabatan kerajaan sejak tahun lalu, di mana harga yang dipersetujui tidak boleh diubah walaupun kos bahan api meningkat.

“Bila diesel naik berganda, kami berjalan pun rugi dan negatif. Macam mana nak terus bertahan? Kami baru saja mahu pulih daripada kesan pandemik Covid-19 dan kini terpaksa menanggung faedah moratorium yang mencecah RM100,000 bagi sebuah bas,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PVPM, Ee Teck Chuan berkata kenaikan kos diesel yang terlalu mendadak sangat membebankan kos operasi sehingga ke tahap yang tidak lagi mampu ditanggung.

Menurutnya, keadaan ini memaksa ramai pengusaha berada di ambang pemberhentian operasi.

“Malah sudah ada dalam kalangan ahli kami yang terpaksa menjual van mereka kerana tidak berupaya lagi untuk bertahan.

“Kami sangat berharap agar pihak kerajaan dapat mendengar rintihan ini dan mempertimbangkan pemberian subsidi diesel demi kelangsungan industri kami,” katanya.

Harga diesel di Semenanjung Malaysia bagi tempoh 2 hingga 8 April ditetapkan pada RM6.02 seliter, meningkat daripada RM5.52, manakala diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.