BDR: Kumpulan cadang moratorium pinjaman bagi perniagaan terkesan

BDR: Kumpulan cadang moratorium pinjaman bagi perniagaan terkesan

Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia berkata kesan ekonomi yang lebih luas mungkin jauh lebih besar.

work from home wfh
Bermula 15 April, kakitangan di kementerian, agensi, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan akan dibenarkan bekerja dari rumah.
PETALING JAYA:
Kumpulan perniagaan mencadangkan moratorium pinjaman selama enam hingga 12 bulan bagi perniagaan yang mengalami penurunan jualan berikutan aturan bekerja dari rumah (BDR), yang dianggarkan boleh menyebabkan kesusutan aktiviti ekonomi bandar sehingga RM1 bilion setiap bulan.

Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia berkata kesan ekonomi yang lebih luas mungkin jauh lebih besar, walaupun pelaksanaan BDR secara besar-besaran boleh menjana penjimatan subsidi bahan api sekitar RM169 juta sebulan.

“Pengurangan penggunaan di kawasan bandar, terutama di Lembah Klang, boleh mengakibatkan kerugian antara RM320 juta hingga RM495 juta setiap bulan, iaitu kira-kira 2.9 kali ganda lebih tinggi daripada penjimatan yang diunjurkan itu,” menurut Chris Daniel Wong, ahli majlis persekutuan tersebut.

“Mengambil kira kesan pengganda yang dianggarkan antara 0.75 hingga 1, jumlah penguncupan ekonomi boleh meningkat kepada antara RM480 juta hingga RM1 bilion sebulan, sekali gus mengofset sebarang keuntungan fiskal,” katanya dalam satu kenyataan.

Wong menganggarkan kerugian bulanan sebanyak RM100 juta hingga RM180 juta dalam sektor makanan dan minuman, RM75 juta hingga RM125 juta dalam sektor peruncitan, dan RM150 juta hingga RM250 juta bagi stesen minyak akibat dasar BDR.

Sektor pengangkutan awam dan perkhidmatan e-panggilan pula mungkin menyaksikan kerugian antara RM60 juta hingga RM90 juta sebulan, manakala hasil tempat letak kenderaan dan tol dijangka menurun sebanyak RM25 juta hingga RM40 juta.

Menurutnya, stesen minyak amat terdedah kepada risiko kerana struktur perniagaan yang berasaskan volum dengan margin rendah, ditambah pula kos operasi tetap yang tinggi seperti buruh, utiliti, sewa, dan pematuhan.

Bermula 15 April, kakitangan di kementerian, agensi, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan akan dibenarkan bekerja dari rumah, manakala firma swasta digalakkan untuk mengambil langkah yang sama.

Langkah itu berlatarkan kenaikan kos bahan api berikutan gangguan kepada rantaian bekalan global susulan konflik di Asia Barat.

Harga minyak mentah Brent melonjak melepasi USD100 sejak konflik memuncak pada akhir Februari.

Bil subsidi bahan api Malaysia dianggarkan sekitar RM4 bilion sebulan, memandangkan Putrajaya mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter menerusi BUDI95, di samping subsidi diesel bersasar.

Bagaimanapun, kerajaan buat sementara mengurangkan kuota subsidi RON95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, berkuat kuasa 1 April.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.