
Saksi pertama pendakwaan, Koperal Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa, 25, berkata dalam kejadian sekitar 2.30 pagi, 17 Mei 2024, dia bersama Koperal Mohd Hasif Roslan, 40, yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah, menerima arahan daripada Ketua Balai, Mohd Hisyam Ezahar melalui WhatsApp untuk kembali ke Balai Polis Ulu Tiram kerana berlaku serangan.
Katanya, sebaik tiba di balai, beliau terlihat Allahyarham Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dalam keadaan terbaring antara berek dan bangunan balai dengan kesan tetakan antara telinga ke mulut.
“Saya nampak mangsa dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah dengan kesan tetakan yang jelas di bahagian muka, dari telinga hingga ke mulut.
“Ketika itu suasana balai sangat malap dan sunyi sebelum Lans Koperal Muhammad Aznel Salleh menjerit memaklumkan Azza ditetak,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam di Mahkamah Tinggi, lapor Berita Harian.
Khairul Azhar berkata, sebaik tiba di lokasi, beliau bersama Hasif segera mendapatkan perlindungan selepas seorang lelaki yang juga suspek keluar dari arah berek dan melepaskan tembakan ke arah mereka.
Katanya, suspek yang berpakaian gelap, memakai topeng dan membawa beg galas bertindak agresif dengan melepaskan beberapa das tembakan ke arah anggota polis di balai berkenaan.
“Ketika cuba berundur untuk mendapatkan perlindungan, rakan saya, Koperal Mohd Hasif terkena dua das tembakan di bahu kiri dan punggung kiri.
“Kami kemudian cuba meninjau kedudukan suspek di belakang balai, namun lelaki sama sekali lagi melepaskan tembakan ke arah kami,” katanya.
Beliau berkata, dalam kekecohan itu, seorang lagi anggota, Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkena tembakan di bahagian kepala ketika cuba mendapatkan perlindungan di kereta perisai di berdekatan balai.
“Saya lihat suspek cuba merampas senjata submesingan yang boleh menembak bertalu-talu milik Syafiq, namun saya sempat melepaskan tembakan ke arah suspek.
“Tembakan kedua saya mengenai badan lelaki itu sebelum dia rebah berhampiran kenderaan perisai.
“Saya berasa sangat sedih kerana kehilangan rakan setugas yang berkhidmat bersama selama ini,” katanya.
Menurutnya, bantuan pasukan khas tiba kira-kira 3.30 pagi sebelum keadaan di balai kembali terkawal dan beliau diminta melakukan pengecaman ke atas mayat dua rakan setugas dan suspek terbabit.
Dalam serangan itu, dua konstabel polis iaitu Azza dan Syafiq terkorban manakala Hasif, cedera ditembak selepas diserang seorang lelaki yang akhirnya ditembak mati dalam insiden itu.
Identiti suspek kemudian dikenal pasti sebagai Radin Luqman Radin Imran, 21, yang membawa kepada penangkapan lima ahli keluarga suspek.
Berdasarkan pertuduhan, bapa suspek, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 64, didakwa menggalakkan perbuatan pengganas dengan cara menanamkan fahaman ideologi IS kepada empat anaknya Radin Luqman, Radin Romyullah, Farhah Sobrina, Mariah dan isterinya, Rosna Jantan di sebuah rumah di Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru, Johor pada hujung 2014 hingga 17 Mei 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130JG(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, lelaki itu didakwa memberi sokongan kepada perbuatan pengganas dengan menyimpan empat pucuk senjata api iaitu senapang angin buatan sendiri untuk menjalankan aktiviti kumpulan IS.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 10.45 pagi, 17 Mei 2024 dan penghujung 2014 mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan.