
KKM turut memantau bahan mentah dan rantaian bekalan secara berterusan bersama pihak industri bagi membolehkan risiko gangguan dikenal pasti lebih awal dan ditangani secara bersasar.
“Pengurusan bekalan dilaksanakan secara berhemah melalui pengagihan berasaskan keperluan klinikal dan penggunaan yang rasional, di samping penyediaan pelan rawatan klinikal alternatif serta memudahcara proses regulatori bagi memastikan akses berterusan kepada ubat-ubatan.
“KKM turut melaksanakan Laluan Akses Khas, pengaktifan pelan gerak balas kecemasan, penetapan item kawalan serta perluasan penggunaan e-Labelling bagi peranti perubatan,” menurut kenyataan.
Bagi jangka sederhana dan panjang, tumpuan diberikan kepada pengukuhan daya tahan bekalan melalui peralihan penggunaan bahan resin kepada polimer, pelaksanaan ‘Unique Device Identification’, dan pembangunan industri tempatan bagi peranti perubatan, katanya.
“Bagi ubat-ubatan pula, pembangunan dasar keterjaminan bekalan ubat melalui inisiatif MyMedSecure, pengukuhan pengeluaran tempatan, pendigitalan rantaian bekalan dan pewujudan stok penimbal strategik nasional turut disasarkan,” tambahnya.
KKM menerangkan krisis tenaga global memberi kesan kepada rantaian bekalan global, termasuk ubat-ubatan dan peranti perubatan.
“Ini memberi impak kepada penghantaran serta ketidakstabilan akses kepada beberapa peranti perubatan kritikal, khususnya produk import bagi kategori berisiko tinggi,” katanya.
Situasi itu juga antara lain memberi kesan kepada keupayaan pembekal untuk memenuhi obligasi kontrak, di samping berpotensi menjejaskan kelangsungan penyampaian perkhidmatan kesihatan sekiranya tidak ditangani dengan segera, tambahnya.
Terdahulu, Persatuan Perubatan Malaysia mencadangkan agar kerajaan mengutamakan ubat-ubatan dari Senarai Ubat-ubatan Penting Kebangsaan dalam usaha mewujudkan stok penimbal strategik.
Ia turut menggesa maklumat bekalan dikongsi secara lebih telus dan proaktif dengan klinik dan hospital swasta bagi memastikan kesinambungan penjagaan pesakit.
Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini menyatakan bahawa bekalan ubat-ubatan kekal stabil, dengan fasiliti kerajaan mengekalkan stok untuk satu hingga tiga bulan, disokong oleh rizab penimbal yang dipegang oleh syarikat konsesi swasta yang membekalkan ubat melalui perjanjian logistik.