Bekalan ubat stabil sekurang-kurangnya hingga hujung Jun

Bekalan ubat stabil sekurang-kurangnya hingga hujung Jun

Menteri kesihatan berkata, KKM ada simpanan stok yang mencukupi, disokong bekalan industri.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad beri jaminan tidak akan ada yang ketandusan ataupun kekurangan bekalan ubat di negara ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekalan ubat di negara ini kekal stabil dan mencukupi sekurang-kurangnya sehingga hujung Jun ini, hasil kombinasi simpanan stok kerajaan dan bekalan industri, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, kerajaan mengambil langkah persediaan sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan, termasuk melaksanakan langkah mitigasi jangka sederhana dan panjang.

“Bagi tempoh terdekat ini, sehingga penghujung Jun, kita masih mempunyai stok yang stabil dan mencukupi. Kita bukan hanya ada stockpile (simpanan stok) kerajaan, tetapi industri juga mempunyai bekalan mereka.

“Keseluruhannya, bekalan ubat seperti insulin dan vaksin yang merupakan keperluan penting mesti dikongsi. InsyaAllah tidak akan ada yang ketandusan ataupun kekurangan,” katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari Pendengaran Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Putrajaya hari ini, lapor Bernama.

Dzulkefly bagaimanapun mengakui kos ubat dan peranti perubatan telah meningkat disebabkan faktor logistik, pengangkutan serta kenaikan harga minyak global.

“Memang terdapat peningkatan kos kira-kira 30 hingga 40% bagi ubat-ubatan, manakala peranti perubatan ada yang meningkat antara 50 hingga 100%,” katanya.

Tambahnya, gangguan rantaian bekalan turut menyumbang kepada tekanan harga, termasuk penangguhan penghantaran peranti perubatan sejak sebelum Mac lepas.

Oleh itu, katanya, KKM sedang berbincang dengan pihak berkaitan termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi menentukan mekanisme terbaik menangani kenaikan kos.

“Antara yang dibincangkan termasuk mekanisme ‘cost pass-through’ dan kadar yang sesuai, sama ada sepenuhnya atau sebahagian,” katanya.

Dzulkefly memberikan jaminan bahawa keadaan itu tidak akan menjejaskan tahap perkhidmatan kesihatan dan kerajaan akan terus mengambil langkah yang perlu bagi menghadapi risiko gangguan bekalan.

“Kita masih dalam keadaan terkawal dan stabil, tetapi langkah lebih ketat akan diambil bagi memastikan tidak berlaku gangguan bekalan,” katanya.

“Kita memandang langkah-langkah yang lebih ketat lagi untuk kita pastikan tidak akan ada ‘supply-side disruption’ (gangguan penawaran) ataupun masalah bekalan.” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.