
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata seramai empat suspek berusia antara 19 hingga 37 tahun ditahan dalam operasi yang dijalankan bersama polis bantuan KLIA itu.
Katanya, semua suspek dipercayai cuba menyeludup dadah untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, dan jumlah dadah yang dirampas itu boleh digunakan lebih 273,000 penagih.
“Dalam kes pertama pada 5 April, seorang wanita tempatan berusia 19 tahun ditahan di kawasan parkir sebuah pusat beli-belah berhampiran KLIA bersama sebuah bagasi.
“Pemeriksaan menemukan 12 bungkusan plastik berisi bahan disyaki syabu seberat 12.5kg, dengan nilai rampasan dianggarkan RM625,000,” katanya dalam sidang media.
Menurutnya, dadah itu dipercayai untuk pasaran tempatan manakala ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Pada 6 April lalu, polis bantuan KLIA merampas tiga bagasi sebelum pemeriksaan lanjut menemukan 90 bungkusan plastik berisi bunga ganja seberat 45kg.
“Rampasan itu dianggarkan bernilai RM3.6 juta dan dipercayai untuk diedarkan ke pasaran luar negara,” katanya.
Susulan itu, tiga lelaki tempatan berusia 26 hingga 37 tahun ditahan di Terminal 1 KLIA kerana dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah.
Dalam kes ketiga, pada 30 Mac, polis bantuan KLIA mengesan sebuah bagasi mengandungi 23 bungkusan plastik disyaki syabu seberat 24.5kg ketika proses imbasan.
“Bagasi itu dipercayai untuk dibawa ke Sabah dan nilai rampasannya dianggarkan RM1.22 juta.
“Bagaimanapun, pemiliknya dipercayai melarikan diri dari terminal dan tidak menaiki penerbangan berkenaan selepas menyedari bagasinya ditahan.
“Polis kini sedang mengesan seorang wanita bagi membantu siasatan kes itu,” katanya.
Tambahnya, semua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, serta sebatan jika sabit kesalahan.