MTEN tetap langkah tangani krisis tenaga, fokus lindungi rakyat

MTEN tetap langkah tangani krisis tenaga, fokus lindungi rakyat

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata fokus utama pastikan bekalan tenaga dan barangan asas mencukupi.

Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) menetapkan hala tuju jelas dalam mengurus krisis tenaga global yang dijangka berpanjangan, dengan keutamaan diberikan kepada kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memastikan bekalan tenaga dan barangan asas kekal mencukupi supaya kehidupan harian rakyat tidak terjejas.

Menurutnya, usaha itu digerakkan melalui peranan Petronas serta perancangan awal bagi menjamin bekalan dalam bulan-bulan mendatang.

“Pada masa sama, langkah menampan kenaikan kos diperkukuh melalui tambahan subsidi diesel kepada pesawah, petani, pekebun kecil dan pemilik kenderaan individu,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pengurusan permintaan tenaga akan dipertingkat melalui penggunaan lebih cekap, termasuk pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam bermula esok.

Selain itu, Ops Tiris akan dipergiat bagi membanteras ketirisan dan penyeludupan yang boleh menjejaskan bekalan minyak negara.

Bagi jangka sederhana dan panjang, kerajaan mempercepat peralihan kepada sumber tenaga boleh baharu bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api import.

Anwar berkata biodiesel dikenal pasti sebagai penyelesaian paling praktikal dalam tempoh terdekat, dengan peningkatan kadar adunan kepada B15 secara berperingkat menggunakan infrastruktur sedia ada.

“Langkah ini membolehkan tindakan segera diambil sementara menunggu sistem baharu dibangunkan sepenuhnya,” katanya.

Beliau menambah dengan kapasiti industri domestik yang kukuh, pendekatan itu bukan sahaja menstabilkan bekalan semasa, malah mengukuhkan daya tahan tenaga negara dalam menghadapi ketidaktentuan global.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.