
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata, realiti demografi kerusi kawasan itu yang bercampur menyebabkan walaupun PN mampu meraih sekitar 60% sokongan Melayu, jumlah itu hanya menterjemah kepada sekitar 30% hingga 40% undi keseluruhan.
“Naratif eksklusif berasaskan sentimen kaum dan agama mungkin mengukuhkan sokongan asas, tetapi ia gagal menembusi kerusi campuran. PN berisiko kekal sebagai blok dominan Melayu tanpa peluang membentuk kerajaan nasional.
“Lebih membimbangkan, perpecahan dalam kalangan pembangkang sendiri akan menyebabkan kemerosotan undi, apatah lagi jika berlaku pertandingan lebih tiga penjuru yang hanya menguntungkan pihak lawan,” katanya kepada FMT.
Sebelum ini, bekas pegawai kanan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata, sokongan Melayu sahaja tidak mencukupi untuk membolehkan PN menang secara mutlak di peringkat nasional.
Marzuki Mohamad berkata, PN tidak mampu menang PRU16 dengan sekadar memainkan mesej anti-DAP atau naratif mengenai kepentingan penyatuan ummah.
Katanya, walaupun naratif sedemikian membantu meningkatkan sokongan Melayu secara keseluruhan, ia tidak cukup untuk menang pilihan raya nasional, sekali gus membentuk kerajaan.
Beliau turut merujuk jika PN berjaya memperoleh 60% sokongan Melayu di kerusi berkenaan, gabungan itu hanya akan mendapat 30-40% daripada jumlah keseluruhan undi.
Sementara itu, mengulas negeri paling berpotensi ditembusi, Zaharuddin berpandangan Selangor dan Johor kekal sebagai dua medan utama.
Katanya, di Selangor pengaruh Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali masih boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan sokongan, khususnya di kawasan bandar Melayu dan separa bandar yang terkesan dengan tekanan ekonomi.
“Manakala, bagi Johor pula faktor negeri asal Muhyiddin memberi kelebihan simbolik kepada PN, selain negeri itu secara tradisinya sering menjadi ‘swing state’ yang mampu berubah mengikut sentimen semasa,” katanya.
Sementara itu, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, realiti demografi negeri seperti Selangor, Johor, Perak, Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan yang bercampur menuntut pendekatan lebih sederhana serta berasaskan dasar, berbanding retorik identiti yang lebih berkesan di Pantai Timur dan Utara seperti Kedah serta Perlis.
“Sebab itu kita tengok di kawasan Pantai Barat, Pakatan Harapan masih berpengaruh. Jadi, bagaimana cara PN nak tarik pengundi, iaitu dengan menunjukkan gabungan mempunyai komitmen terhadap perancangan dan pembangunan negara.
“Sebab hari ini orang lihat di Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, negeri ini tak maju sedangkan bawah PN. Manakala, negeri pantai barat yang dikuasai oleh PH dan Barisan Nasiomal ini mereka maju,” katanya.
Katanya, strategi paling penting untuk PN ialah membina keyakinan pengundi melalui tawaran pembangunan negara yang jelas dan meyakinkan.
Menurutnya, PN perlu membuktikan keupayaan mentadbir dengan mengemukakan pelan ekonomi alternatif yang tersusun, termasuk cadangan belanjawan bayangan setiap kali kerajaan membentangkan bajet di Parlimen.
Mazlan berkata, selain itu PN juga perlu menonjolkan lebih ramai tokoh berwibawa yang mampu bercakap mengenai ekonomi, dasar antarabangsa dan masa depan negara secara meyakinkan.
Beliau berkata, kewibawaan pimpinan menjadi faktor penting untuk memenangi hati pengundi bandar yang lebih kritikal terhadap kemampuan sesebuah gabungan mentadbir negara.