Pemandu lemas, jentera berat terjunam kolam

Pemandu lemas, jentera berat terjunam kolam

Polis berkata kejadian berlaku ketika mangsa mengendalikan jentera penyodok dalam kawasan kilang kelapa sawit.

Polis berkata jentera berat dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik dan terjunam ke dalam kolam berhampiran. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki maut selepas kenderaan berat dipandunya terbabas dan terjatuh ke dalam kolam buangan sisa di sebuah kilang sawit di Kampung Tersang, Raub.

Mohamad Syariffudin Jemain, 37, dilaporkan lemas dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira 10 malam tadi.

Ketua Polis Raub, Shahril Abdul Rahman, berkata kejadian itu berlaku ketika mangsa mengendalikan jentera penyodok dalam kawasan kilang kelapa sawit.

Menurutnya, ketika mengundur, jentera itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik dan terjunam ke dalam kolam berhampiran menyebabkan mangsa tersepit serta lemas.

“Mangsa berjaya dikeluarkan, namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Salahuddin Isa, berkata lapan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Raub ke lokasi selepas menerima panggilan.

Jelasnya, sebuah jentera berat jenis Shovel didapati terjunam ke dalam kolam buangan sisa sawit berkeluasan 30 x 50 kaki persegi berkedalaman kira-kira 4.5m.

Setibanya pasukan bomba di lokasi, beliau berkata, mangsa telah dikeluarkan dari kolam oleh pekerja kilang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.