Bapa, abang penyerang balai Ulu Tiram dipenjara 30 tahun

Bapa, abang penyerang balai Ulu Tiram dipenjara 30 tahun

Ibu penyerang pula dijatuhi hukuman penjara empat tahun, manakala dua adik-beradik perempuan dibebaskan.

Radin Imran Radin Yassin, 64, dan Radin Romyullah Radin Imran, 36, dibawa dengan kawalan keselamatan ketat di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun masing-masing terhadap bapa dan abang kepada Radin Luqman Radin Imran, penyerang balai polis Ulu Tiram atas pertuduhan berkaitan keganasan.

Hakim Nurulhuda Nur’aini Nor memerintahkan hukuman itu ke atas Radin Imran Radin Yassin, 64, dan Radin Romyullah Radin Imran, 36, selepas kedua-duanya menukar pengakuan kepada bersalah.

Hakim turut menjatuhkan hukuman penjara empat tahun ke atas Rosna Jantan, 61, selepas dia juga mengaku bersalah, manakala dua anak perempuannya, Farhah Sobrina, 25, dan Mariah, 21, dibebaskan.

Sebelum ini, dua anak perempuan tersebut dituduh gagal memberikan maklumat berkaitan kesalahan keganasan. Terdahulu, pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah mereka menarik balik pertuduhan terhadap kedua-duanya.

Radin Imran dijatuhi hukuman penjara 30 tahun bagi setiap satu daripada tiga pertuduhan — menyemai ideologi kumpulan Islamic State (IS) kepada isteri dan anak-anaknya, memiliki senjata api buatan sendiri untuk memudahkan aktiviti berkaitan IS, dan berbaiah kepada pemimpin kumpulan itu.

Dia juga dijatuhi hukuman penjara empat tahun kerana memiliki bahan dikaitkan dengan kumpulan militan berkenaan.

Radin Romyullah pula dijatuhi hukuman penjara 30 tahun kerana menyokong IS, dan tiga tahun kerana memiliki cakera keras mengandungi bahan berkaitan IS.

Rosna dijatuhi hukuman penjara empat tahun kerana gagal memberikan maklumat berkaitan kesalahan keganasan.

Mahkamah memerintahkan semua hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh mereka ditangkap, pada 17 Mei 2024.

Timbalan Pendakwa Raya Norinna Bahadun, Siti Maryam Jamilah Kamal dan Mustaffa P Kunyalam selaku pihak pendakwaan, manakala Faizal Rahman dan Fatimah Zulaikha Ahmad Bashri mewakili tertuduh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.