
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata perbincangan itu akan menjadi platform untuk menilai semua aspek berkaitan.
“Satu kenyataan lebih lengkap dan menyeluruh selepas sesi perbincangan itu,” katanya kepada FMT.
Dara, Amoi dan Kelat sebelum ini ditempatkan di Zoo Taiping & Night Safari yang terletak di bawah portfolio Sandrea.
Baru-baru ini tular di media sosial yang tiga gajah terbabit ditempatkan dalam persekitaran konkrit di Zoo Tennoji sejak Mac lalu yang tidak sesuai berbanding habitat asalnya di hutan khatulistiwa.
Satu petisyen turut digerakkan bagi mendesak kerajaan membawa pulang Dara, Amoi dan Kelat, yang setakat ini menghampiri 160,000 tandatangan.
Kelmarin, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Arthur Joseph Kurup berkata gesaan itu wajar dipertimbang secara serius.
Menurutnya, walaupun kementerian itu tidak terlibat dalam perjanjian antara Zoo Taiping & Night Safari dan Zoo Tennoji, ada asas kukuh membawa pulang ketiga-tiga gajah itu seperti gesaan kumpulan kebajikan haiwan.
Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail pula berkata tiga ekor gajah itu sepatutnya ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Temerloh, yang menurutnya lebih sesuai dengan habitat semula jadi dan keperluan haiwan berkenaan.
Jelasnya, pusat konservasi itu mempunyai kepakaran serta persekitaran yang lebih kondusif untuk pemuliharaan dan penjagaan gajah, khususnya dari aspek interaksi sosial, ruang pergerakan dan kesejahteraan psikologi haiwan.
Sebelum ini dilaporkan Perhilitan telah menyelaraskan pemindahan seekor gajah jantan berusia 20 tahun bernama Kelat, seekor gajah betina berusia 14 tahun bernama Dara, dan seekor gajah betina berusia 9 tahun bernama Amoi sebagai sebahagian daripada Program Konservasi Gajah Malaysia yang bertujuan untuk pembiakan dan penyelidikan.