
Ketuanya, Rozi Mamat berkata, Umno Terengganu perlu membuktikan kepada rakyat bahawa mereka mempunyai pemimpin yang mampu menyelesaikan masalah.
“Jangan sekadar cakap berapi di pentas tetapi rakyat tidak nampak hasil. Kita mesti jadi penyelesai masalah, bukan pengulas,” katanya pada sambutan ulang tahun Umno ke-80 di Kuala Terengganu hari ini, lapor Utusan Malaysia.
Beliau berkata, pemimpin parti perlu menerima hakikat kedudukan semasa parti demi membina semula kekuatan menjelang PRU akan datang.
Semua pemimpin juga mesti bergerak kerja berpandukan strategi yang ditetapkan oleh kepimpinan tertinggi parti, tambahnya.
“Jangan keras kepala. Bagaimana hendak rampas dan bangkit balik jika kita masih dibayangi keputusan lepas? Tuan-tuan akan lalui perjalanan yang lebih sukar daripada yang dilalui sebelum ini.”
Rozi berkata, pihak lawan telah mengambil kesempatan atas kebimbangan rakyat mengenai peningkatan kos sara hidup dan Umno Terengganu memerlukan pendekatan baharu untuk mendekati rakyat, lebih daripada sekadar retorik politik.
Katanya, Umno mesti memberi tumpuan kepada isu-isu teras yang membelenggu rakyat, termasuk bantuan kebajikan negeri yang tidak mencukupi, kenaikan bayaran pengurusan tanah sebanyak 200%, serta isu tempat letak kereta dengan pihak berkuasa tempatan.
Masalah pengangguran belia juga menuntut perhatian serius, memandangkan rakyat masih ingat bagaimana kerajaan negeri Barisan Nasional terdahulu berjaya membawa masuk pelabur ke negeri itu, tambahnya.