
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Mohamed Akmal Dahalan berkata perjanjian itu antara dua zoo dan bukannya urusan perniagaan seperti dakwaan segelintir pihak.
“Penggunaan terma B2B (business to business) tidak bertepatan dengan semangat perjanjian yang telah dimeterai,” katanya dalam kenyataan.
Akmal berkata penjelasan dibuat susulan tuduhan tular di media sosial termasuk dakwaan program kerjasama itu melibatkan unsur komersial, bayaran tertentu kepada ZTNS dan MPT serta tidak mematuhi peraturan dan akta yang berkuat kuasa.
Beliau berkata program kerjasama antarabangsa itu selaras dengan Garis Panduan Standard Zoo (Pengendalian Zoo) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta telah melalui proses kelulusan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
“Sebelum penghantaran gajah dilakukan, pihak MPT, ZTNS dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah mengadakan lawatan ke Osaka dari 6 hingga 10 Okt 2022 bagi menilai kesesuaian kemudahan sedia ada dan penambahbaikan yang perlu dilaksanakan TZO,” katanya.
Akmal berkata semua dokumentasi berkaitan termasuk permit khas, permohonan eksport dan maklum balas kepada pihak berkuasa Jepun telah memperoleh kelulusan sewajarnya sebelum penghantaran dibuat.
“MPT ingin menegaskan aspek kebajikan dan kesejahteraan haiwan sentiasa menjadi keutamaan dalam pelaksanaan program ini. Pihak ZTNS akan terus berhubung dengan TZO serta agensi berkaitan dari semasa ke semasa bagi mendapatkan perkembangan terkini,” katanya.
Beliau berkata MPT juga bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika perlu menjalankan semakan atau siasatan lanjut terhadap program itu.
Tiga gajah itu kini ditempatkan di TZO di bawah perjanjian kerjasama antarabangsa selama 25 tahun antara TZO dan ZTNS yang diwakili MPT.
Media sebelum ini melaporkan sekumpulan aktivis dan badan bukan kerajaan menggesa kerajaan membawa pulang tiga gajah berkenaan kerana didakwa mengalami penderitaan serta tidak sesuai dengan persekitaran zoo itu.