Altimet nafi dakwaan keluar PKR, kekal sokong kerajaan

Altimet nafi dakwaan keluar PKR, kekal sokong kerajaan

Adun Lembah Jaya itu nyata keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerusi kerajaan Madani.

Ketua PKR Ampang Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, atau Altimet, nafi dakwaan tular di media sosial bahawa beliau letak jawatan dan keluar parti.
PETALING JAYA:
Ketua PKR Ampang Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad menafikan dakwaan kononnya beliau akan meletak jawatan dan meninggalkan parti itu.

Syed Ahmad yang lebih dikenali sebagai Altimet membuat penjelasan tersebut susulan penyebaran khabar angin di media sosial berhubung perkara itu.

“Saya menafikan keluar parti dan kekal bersama PKR dalam menjaga kebajikan rakyat di Lembah Jaya, Ampang dan Malaysia,” kata Adun Lembah Jaya itu dalam kenyataan.

Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerusi kerajaan Madani.

“Saya yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim melalui kerajaan Madani yang sehingga kini berjaya menstabilkan keadaan ekonomi di waktu ketidaktentuan geopolitik dunia, meningkatkan KDNK, menjaga kebajikan Malaysia dan menaikkan nama tanah air di mata dunia,” katanya.

Terdahulu, tular di TikTok dakwaan Timbalan Ketua Wanita PKR Juwairiya Zulkifli dan dua Adun Selangor, iaitu Altimet dan Adun Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi akan meninggalkan PKR.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.