Harga minyak naik dorong peningkatan penumpang LRT laluan Kelana Jaya

Harga minyak naik dorong peningkatan penumpang LRT laluan Kelana Jaya

Ketua Pegawai Operasi Rapid Rail Sdn Bhd Nor Azmi Mohd Yusof berkata syarikat itu akan melaksanakan penambahbaikan sistem bagi memastikan operasi kekal selamat dan lancar.

Nor Azmi Mohd Yusof
Nor Azmi Mohd Yusof memberi taklimat kepada media berhubung usaha untuk menambah baik perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya.
PETALING JAYA:
Kenaikan harga minyak dipercayai antara faktor mendorong lebih ramai pengguna beralih kepada pengangkutan awam, dengan LRT Laluan Kelana Jaya merekodkan purata 289,282 penumpang sehari tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi Rapid Rail Sdn Bhd Nor Azmi Mohd Yusof berkata syarikat melihat peningkatan penggunaan pengangkutan awam terutama pada waktu puncak, apabila orang ramai mula mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian.

Menurutnya, purata kadar muatan penumpang Laluan Kelana Jaya kini mencecah 109% pada waktu puncak.

“Memang kita nampak pengguna banyak beralih daripada penggunaan kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam dan daripada pihak kami, kita akan terus menambah baik perkhidmatan,” katanya pada sesi taklimat media hari ini.

Nor Azmi berkata peningkatan jumlah pengguna memberi cabaran besar kepada operasi Rapid Rail, sekali gus mendorong pelbagai usaha penambahbaikan bagi memastikan perkhidmatan kekal selamat dan lancar.

Pada 12 Mei lalu, gangguan perkhidmatan membabitkan tren antara KL Sentral dan Pasar Seni dikenal pasti berpunca daripada kabel bateri cair, yang disifatkan sebagai kejadian pertama seumpamanya.

Pada 18 Mei pula, sebuah tren mengalami kerosakan membabitkan komponen “linear induction motor”, menyebabkan Rapid Rail mengaktifkan pelan perkhidmatan alternatif termasuk tren ulang-alik dan bas sokongan bagi mengurangkan kesan kepada penumpang.

Susulan itu, Rapid Rail memperkenalkan beberapa langkah keselamatan termasuk sistem “Platform Intrusion Emergency Stop” (PIES), yang mampu mengesan objek atau individu terjatuh ke landasan sebelum menghentikan kemasukan tren secara automatik.

“Terdapat petak merah di kawasan landasan yang berfungsi sebagai sistem keselamatan. Jika sistem mengesan impak pada kawasan tertentu, ia akan mengaktifkan penutupan landasan bagi mengelakkan risiko kepada penumpang,” katanya.

Nor Azmi berkata Rapid Rail juga mempunyai sistem brek kecemasan automatik yang akan diaktifkan apabila sistem mengesan ketidaknormalan.

“Ini bukan bermakna tren itu tidak selamat digunakan, tetapi sistem mengesan bacaan tidak normal. Jika amaran sama berlaku sehingga tiga kali, tren akan dikeluarkan untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Rapid Rail juga akan menggantikan 26 set tren, selain menaik taraf sistem komunikasi radio, sistem isyarat dan infrastruktur secara berperingkat sehingga 2030.

“Sementara kita menunggu penggantian tren, tanggungjawab kami memastikan tren yang digunakan kekal selamat untuk operasi walaupun usianya menghampiri 30 tahun,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.