Guru mengaku tak salah 7 tuduhan amang seksual

Guru mengaku tak salah 7 tuduhan amang seksual

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM22,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Darusalam Ab Rahman berdepan dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun dalam sebuah kereta di depan kedai makan di Kuala Terengganu dan depan sebuah rumah di Kampung Anak Ikan pada 11 Mei lalu. (Gambar Bernama)
SETIU:
Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tujuh pertuduhan amang seksual fizikal terhadap dua pelajar lelaki, bulan lalu.

Darusalam Ab Rahman, 42, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di depan Hakim Ahmad Fadhli Mahmud.

Bagi tiga pertuduhan pertama, guru itu didakwa berkomunikasi melalui aplikasi WhatsApp dengan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dengan niat untuk melakukan atau memudahkan perlakuan amang seksual fizikal terhadap mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Anak Ikan, Besut antara 9.21 malam hingga 2.10 pagi pada 5, 8 dan 10 Mei.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 12(1) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKKSTKK) 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan boleh disebat.

Lelaki itu turut berdepan dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja sama dalam sebuah kereta di depan kedai makan di Kuala Terengganu kira-kira 9 malam dan di depan sebuah rumah di Kampung Anak Ikan sekitar 10 malam 11 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) AKKSTKK 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebat.

Darusalam turut didakwa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja 15 tahun dalam tandas sekolah menengah di Besut kira-kira 4 petang 8 Mei lalu di bawah Seksyen 14(a) AKKSTKK 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama, yang membawa hukuman serupa.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM22,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 6 Julai ini sebagai tarikh sebutan dan serahan dokumen di Mahkamah Sesyen Besut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Akmal Mohd Jazlee, manakala tertuduh diwakili peguam yang enggan dinamakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.