Kedai kopi P Pinang diminta buang label ‘meja halal’ selepas bantahan

Kedai kopi P Pinang diminta buang label ‘meja halal’ selepas bantahan

Datuk bandar berkata kedai itu bukan dikendalikan Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan ia tidak menggalakkan amalan sedemikian.

Satu catatan tular di Facebook mendakwa meja di sebuah kedai kopi di George Town digunakan untuk mengasingkan pelanggan Muslim dan bukan Muslim.
GEORGE TOWN:
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengarahkan sebuah kedai kopi di Jalan Terengganu, di sini menanggalkan pelekat yang melabelkan meja “halal” susulan bantahan di media sosial.

Satu hantaran tular di Facebook mendakwa meja berkenaan digunakan untuk memisahkan pelanggan Muslim dan bukan Muslim. Terdapat juga dakwaan premis itu dikendalikan MBPP.

Datuk Bandar Rajendran Anthony berkata tiada amalan sedemikian di premis makanan, pasar awam atau kompleks makanan yang dikendalikannya dan amalan itu tidak pernah menjadi sebahagian daripada dasar MBPP.

Beliau berkata, MBPP mengenal pasti kedai itu selepas memeriksa premis makanan yang tidak dikendalikannya. Susulan itu, pemilik premis terbabit diarah menanggalkan pelekat berkenaan.

“MBPP berpegang kepada dasar inklusif kerajaan Pulau Pinang, di mana keharmonian, sensitiviti dan keselesaan semua penduduk, tanpa mengira bangsa atau agama, kekal menjadi keutamaan,” katanya kepada FMT.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam MBPP, Tan Soo Siang, berkata majlis itu telah mengambil tindakan terhadap pengusaha kedai kopi itu dan mengeluarkan amaran susulan aduan orang ramai.

Tegasnya restoran itu bukan dikendalikan MBPP.

Beliau berkata, isu itu timbul selepas sebuah gerai burger mula beroperasi di kedai kopi berkenaan dan meletakkan pelekat yang menetapkan kawasan tempat duduk berasingan bagi pelanggan mengambil makanan halal serta tidak halal.

Katanya, pengusaha gerai itu tidak mendapat kelulusan MBPP sebelum meletak pelekat berkenaan, selain ia tiada sijil halal sah, jadi ia tiada kuasa untuk menetapkan mana-mana kawasan di premis itu sebagai halal atau tidak halal.

Menurutnya, pengusaha makanan perlu mendapatkan kelulusan pihak berkuasa sebelum memasang sebarang papan tanda atau memperkenalkan langkah yang boleh memberi kesan kepada pelanggan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.