Nama Isa disambut sorakan ‘boo’ pada majlis dihadiri PM

Nama Isa disambut sorakan ‘boo’ pada majlis dihadiri PM

Program dihadiri kira-kira 15,000 pemandu teksi itu menyaksikan bekas pengerusi Felda itu diberi sambutan agak berlainan.

Free Malaysia Today
Tan Sri Isa Samad (2 dari kanan) di atas pentas bersama Datuk Seri Najib Razak (4 dari kanan) pada majlis bersama pemandu teksi.
SERDANG:
Suasana janggal berlaku pada sebuah program dihadiri kira-kira 15,000 pemandu teksi, ia apabila sorakan tidak enak kedengaran sewaktu nama Tan Sri Isa Samad disebut.

“Sorakan” itu kedengaran setiap kali nama pemangku pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu disebut.

Situasi pertama terjadi apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri mengalu-alukan kehadiran Isa ke program itu.

Ia disusuli dengan sorakan yang kedengaran apabila nama Isa disebut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pada majlis untuk menyerahkan Kad Bantuan Teksi 1Malaysia.

Sementara itu, Najib dalam ucapannya mengumumkan pemberian RM800 kepada pemandu teksi menerusi Kad Bantuan Teksi 1Malaysia bagi membantu meringankan kos bahan api 67,000 ribu pemandu teksi.

“Bagi tujuan menzahirkan insiatif ini, kerajaan telah meluluskan dana sebanyak RM53.6 juta. Kad ini boleh diguna untuk mengisikan teksi dengan gas atau petrol di stesen-stesen minyak Petronas,” katanya.

Pada masa sama, Najib turut mengumumkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) kepada pemandu teksi yang sebelum ini tidak layak menerima bantuan tersebut.

“Dengan sukacitanya saya mengumumkan bahawa kerajaan telah memutuskan agar semua pemandi teksi di seluruh negara yang layak memohon BR1M akan menerima kelulusan secara automatik.

“Ini kerana kita sedar kehidupan sebagai pemandu teksi bukan senang, oleh itu sebagai kerajaan yang prihatin dengan Kad Bantuan Teksi 1Malaysia, dan BR1M saya umumkan pada hari ini, kebajikan pemandu teksi sedikit sebanyak akan terbela,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.