
Kemunculan musim pilihan raya 5 tahun sekali bukan sahaja menentukan hala tuju sesebuah negara tetapi platform bagi pihak tertentu menunjukkan bakat dan kemahiran.
Pada musim inilah ramai yang tunjuk kebolehan ”turun padang”, berjumpa rakyat, melakukan pelbagai kerja kebajikan, berceramah, berdebat, menyanyi dan menari semuanya untuk memancing undi.
Pada masa sama, ada individu bukan ahli politik juga menggunakan platform sama untuk menunjukan kebolehan mereka.
Misalnya 2 klip video yang dikongsi di laman Twitter dan Facebook ini, masing-masing pesertanya jelas mahu tunjuk bakat dalam tarian, lakonan dan nyanyian dengan menggunakan platform musim pilihan raya ini.
Satu rakaman ditemui di laman sosial ialah video gubahan lagu Tamil berjudul “Naalai Namathe” lakonan pelakon terkenal dan bekas ketua menteri Tamil Nadu, India, MGR untuk pilihanraya menggunakan lirik bahasa Melayu dengan memberi penekanan kepada calon pilihan raya MIC dalam Barisan Nasional.
Video yang diakui ditulis dan dinyanyikan lelaki bernama K Venugopal Venu dipercayai dari Ipoh, Perak ini nampaknya boleh jadi saingan kepada lagu “Beribu-ribu Tahniah” yang pernah dipopularkan pada pilihan raya beberapa tahun dahulu, juga untuk parti MIC.
Melayari laman sosial lelaki tersebut, dia didapati aktif mengubah lagu-lagu Tamil kepada bahasa Melayu untuk menunjukkan sokongannya kepada BN dan MIC.
Dalam klip terbaru, visual lagu menyelitkan wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan wajah calon MIC seperti Datuk Seri S Subramaniam dan Datuk Devamany.
Sebuah lagi klip menunjukkan seorang lelaki menunjukkan kemahiran menari, tiba-tiba didatangi kekasih lama berbaju merah.
Adegan tersebut menjelaskan sebab lelaki itu meninggalkan wanita berbaju merah dan memilih wanita berbaju biru, dengan intipati mesej politik.
Dipercayai dirakam di Sabah, tetapi tidak dapat dipastikan pelakon atau pihak yang terbabit dengan video tersebut walaupun ia mengetengahkan parti Barisan Nasional kecuali dimuatnaik di YouTube oleh Muntasir Sabah.