
Beliau berkata, Warisan hanya berminat memonopoli kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) — dalam mengejar angan-angan Presidennya, Datuk Seri Shafie Apdal menjadi ketua menteri — dengan mempergunakan rakan pembangkang lain seperti DAP dan PKR.
“Saya akan berhati-hati jika saya adalah DAP dan PKR. Pakatan antara Warisan dan Pakatan Harapan (PH), khasnya PPBM, mencurigakan.
“Tiada kejujuran dalam perjuangan itu. Ia bertujuan mencapai matlamat tertentu.
“Seorang pemimpin mahu menjatuhkan perdana menteri. Seorang lagi mahu menggulingkan ketua menteri,” katanya yang masing-masing merujuk Pengerusi PPBM dan PH, Tun Dr Mahathir Mohamad serta Shafie.
Rahim dalam satu kenyataan berkata, Shafie pernah berkata partinya tidak akan berpakat dengan PH, tetapi baru-baru ini beliau mengumumkan Warisan akan bekerjasama dengan PH.
Adun Pantai Manis itu berkata, Shafie “berkelakuan seperti mentornya, Dr Mahathir yang terkenal membuat pusingan U”.
Beliau berkata, Shafie bukan sahaja “membuang parti pembangkang tempatan yang sebelum ini didakwanya dalam proses ‘rundingan penggabungan’ dengan Warisan”, tetapi beliau turut memperkecilkan mereka.
“Hakikatnya, kami tidak terkejut apabila Warisan mengumumkan mereka akan bekerjasama dengan PH yang diketuai Dr Mahathir berusia 93 tahun. Ia adalah rancangan mereka sejak awal lagi.”
Beliau mendakwa Dr Mahathir dan Shafie “merancang sebuah drama politik”.
“Shafie menggunakan modus operandi baru Dr Mahathir dengan menghimpunkan pemimpin tidak berpuas hati untuk mencapai impiannya menjadi ketua menteri Sabah — dengan apa jua cara — walaupun perlu bekerja dengan lelaki yang hampir memusnahkan negeri itu suatu ketika dahulu.”
Dengan mendakwa PH menuntut 60% daripada 25 kerusi Parlimen daripada Warisan untuk diberikan kepada calon DAP, PKR dan Amanah, Rahim mempersoalkan Shafie: “Jadi, adakah slogan Sabah untuk rakyat Sabah masih dipertahankan?”