
Mengesahkan perkara itu, Pengarah Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata ketiga-tiga kilang itu didapati turut melakukan kesalahan bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling.
“Tiga kilang ini melibatkan pengendalian kimia dan bahan toksik dan perintah tahan operasi dikeluarkan serta merta hari ini.
“Perintah dikeluarkan kerana kilang ini berpotensi menyebabkan pencemaran udara dan perintah tahan operasi adalah sehingga mereka mengikut undang-undang,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Terdahulu, Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan, Mohd Khuzzan Abu Bakar pada sidang media berkata JAS mengambil tindakan penjejakan dan penyiasatan terhadap 38 kilang kimia bagi kesalahan bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling.
Selain, 3 perintah tahan operasi, sebanyak 27 kompaun bagi kesalahan buangan terjadual dan 10 kompaun bagi efluen perindustrian dikeluarkan, kata beliau.
“Kita adakan operasi ini selama 2 minggu semenjak hari pertama insiden pencemaran (20 Jun) berlaku.
“Operasi ini juga dilakukan secara komprehensif kerana kita dalam proses untuk menyingkirkan mana-mana kilang yang berpotensi menyebabkan pencemaran,” katanya.
Sementara itu, Khuzzan berkata hanya terdapat 3 mangsa wanita dan 1 lelaki berusia 13 hingga 17 tahun yang menerima rawatan dan mereka dalam keadaan stabil.
“Selain itu, JAS juga melakukan pemantauan kualiti udara secara berkala bagi mengesan kehadiran pencemaran gas di kawasan Pasir Gudang dan bacaan tahap kualiti udara adalah baik.
“Polis masih meneruskan sekatan jalan raya 24 jam di lokasi yang dikenal pasti sebagai akses utama keluar dan masuk ke kawasan Pasir Gudang,” katanya.
Beliau berkata Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia turut melakukan pemantauan tahap kualiti udara dalam radius pengesanan sehingga 13 kilometer.
“Kerajaan negeri sememangnya komited dalam memastikan insiden pencemaran ini dapat ditangani sebaik mungkin dengan memastikan penguatkuasaan melalui agensi-agensi berkaitan dipertingkatkan,” katanya.