Potensi menang 53 kerusi jika PH kerjasama BN di Selangor, kata Amirudin

Potensi menang 53 kerusi jika PH kerjasama BN di Selangor, kata Amirudin

Pengerusi PH Selangor berkata bagaimanapun angka 53 itu bukan sasaran tetapi kiraan dibuat jika diambil berdasarkan keputusan PRU15.

Amirudin Shari berkata PKR Selangor tidak boleh leka dengan keputusan PRU15 yang menyaksikan PH kembali berkuasa melalui kerajaan perpaduan.
SHAH ALAM:
Jika Pakatan Harapan (PH) bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri Selangor, gabungan itu berpotensi memenangi 53 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusi PH Selangor yang juga Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata bagaimanapun angka 53 itu bukan sebagai sasaran tetapi kiraan dibuat jika diambil berdasarkan keputusan PRU15.

“Ingin saya jelaskan kiraan itu diambil berdasarkan keputusan PRU15. Kita ‘secure’ 40 kerusi.

“Tapi kalau gabungan BN dan PH dengan undian tinggi, gabungan PH dengan BN berpotensi menang 53 kerusi daripada 56,” katanya ketika berucap pada konvensyen pilihan raya Selangor di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC).

Beliau bagaimanapun berkata, PKR Selangor tidak boleh leka dengan keputusan PRU15 yang menyaksikan PH kembali berkuasa melalui kerajaan perpaduan.

Beliau berkata, parti itu sebaliknya perlu bersedia menghadapi PRN akan datang.

Menurutnya, walaupun PH dan BN boleh menggabungkan undi mereka pada pilihan raya negeri akan datang, ini tidak boleh membawa kepada kelekaan.

“Jika kita melihat kepada ‘mood’ rakyat terhadap kerajaan perpaduan serta jumlah PH dan BN digabungkan, kemungkinan besar kita akan menang.

“Bagaimanapun, keputusan itu tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata Perikatan Nasional (PN) dalam keadaan terdesak ketika ini kerana tidak mempunyai “launching pad” (landasan pelancaran) yang kukuh di Selangor.

Katanya, PN hanya kukuh di Pantai Timur dan Utara Semenanjung saja.

“Kalau mempunyai ‘launching pad’ kukuh seperti di Selangor saya rasa serangan mereka akan bertambah ganas…serangan kepada kerajaan persekutuan semakin keras.

“Ini kerana kita tahu mereka tidak mahu kesalahan mereka di Selangor didedahkan ke muka pengadilan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.