PRK KKB: PAS serah pucuk pimpinan PN tentukan calon

PRK KKB: PAS serah pucuk pimpinan PN tentukan calon

Naib Presiden Mohd Amar Abdullah berkata kemungkinan kerusi itu akan ditandingi oleh Gerakan berdasarkan persetujuan pada PRU15.

Mohd Amar Abdullah percaya PN boleh merampas KKB tidak kira calonnya daripada Gerakan, PAS, atau Bersatu.
PETALING JAYA:
PAS menyerahkan kepada kepimpinan Perikatan Nasional (PN) untuk menentukan calon mewakili gabungan itu pada PRK Kuala Kubu Baharu nanti.

Naib Presiden Mohd Amar Abdullah berkata kemungkinan kerusi itu akan ditandingi oleh Gerakan berdasarkan persetujuan pada PRU15, memandangkan belum ada keputusan baharu setakat ini.

“Kita ada keyakinan bahawa PN boleh merampas kerusi itu tidak kira sama ada calonnya daripada Gerakan, PAS atau Bersatu,” katanya menurut Sinar Harian, selepas menghadiri majlis rumah terbuka Pas Pengkalan Chepa.

Malah beliau percaya PN boleh menang dengan bergaya jika gabungan itu boleh meyakinkan rakyat tentang kemampuannya, “selain isu yang menyebabkan tidak puas hati rakyat terhadap Pakatan Harapan”.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 11 Mei manakala hari penamaan pada 27 April, masing-masing jatuh pada hari Sabtu.

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac.

Lee, 58, yang menjadi Adun Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013, meninggal dunia selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lepas.

PRK Kuala Kubu Baharu ialah PRK ketujuh yang akan diadakan selepas PRU15 pada 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.