Prinsip PAS tak jelas, kerajaan Selangor di laluan sukar

Prinsip PAS tak jelas, kerajaan Selangor di laluan sukar

Adun PAS di Selangor perlu menyatakan pendirian mereka ke atas kerajaan Selangor, lebih-lebih lagi ketiga-tiga exco PAS

pas-kerajaan-selangor
Oleh Fakhrurrazi Rashid

Pergolakan status exco PAS di Selangor menjadi 1 peristiwa penting dalam amalan sistem demokrasi berparlimen Malaysia. Keputusan kepimpinan PAS pusat untuk mengekalkan ketiga-tiga exco PAS mereka dalam kerajaan Selangor akan memberi impak signifikan kepada kedudukan kerajaan Selangor. Perkara ini menjadi bertambah rumit apabila PAS secara kolektif memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Masalah yang tidak punyai jawapan ini akan mengundang pelbagai persoalan dan kritikan ke atas PAS dan kerajaan Selangor. Suasana ini memberi impak kepada kestabilan kerajaan Selangor yang berjaya dari sudut pengurusan hasil mahsul negeri, tetapi masih tidak mempunyai pendirian dalam masalah kepimpinan sejak ‘Kajang Move’.

Apakah kesukaran PAS mengarahkan ketiga-tiga Exco tersebut meletakkan jawatan dan adakah jalan keluar dalam meneruskan mandat pentadbiran Pakatan Harapan di Selangor? Adakah ini bertetapan dengan prinsip demokrasi matang yang selama ini dipegang oleh parti pembangkang termasuk PAS?

Negara-negara maju, khususnya yang mengamalkan demokrasi berparlimen sudah melalui perjalanan yang sukar dalam krisis kepimpinan. Peletakan jawatan seorang ahli badan eksekutif selalunya berdasarkan kepada prinsip dan hak untuk tidak bersetuju dan berbeza haluan dalam dasar pentadbiran.

Kerajaan Kyrgyzstan yang diperintah oleh sebuah gabungan parti turut melalui situasi yang sama. Parti Sosisial Demokrat Kyrgyzstan (SDPK) yang mempunyai kerusi terbanyak di parlimen membuat keputusan keluar daripada gabungan parti dan meletakkan jawatan kabinet pada 24 Oktober 2016 selepas tidak bersetuju dengan pandangan parti komponen dalam mereformasikan pelembagaan negara. Perkara ini menyebabkan SPDK perlu mencari gabungan baru untuk membentuk semula kerajaan dan mempertahankan keyakinan ahli parlimen untuk terus memerintah.

Amalan di Kyrgyzstan, sebuah negara tangga ke-143 dari segi KDNK dunia dan memerintah hampir 86.3% rakyat beragama Islam, dapat menzahirkan politik matang dengan berprinsip. Jadi mengapa kepimpinan PAS pusat dan negeri masih tidak mempunyai prinsip dalam hal ini sedangkan keputusan menamatkan kerjasama secara rasmi dengan DAP dan PKR sudah dibuat.

Malah, tindakan PAS pusat mengalihkan tanggungjawab kemelut ini kepada Sultan Selangor merupakan percaturan menyelamatkan diri mereka. Berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 (Pindaan 2008), Bab 3, L111 (7), exco boleh berkhidmat selama tempoh yang diperkenankan oleh baginda Sultan Selangor. Namun, fasal (7) ini hanya terpakai sekiranya menteri besar mendapat undi tidak percaya daripada DUN Selangor seperti kandungan fasa (6). Jadi kenyataan PAS boleh dipertikaikan kerana hujah dibawakan untuk masalah ini masih tidak terpakai.

Tetapi secara prinsipnya, kepimpinan PAS kian runsing atas kegagalan mereka menimbang dan menganalisis kesan memutuskan tahaluf siyasi bersama PKR sehingga meleburkan permuafakatan yang dibina dalam Pakatan Rakyat sejak 2008 di Selangor.

Kerajaan Selangor di landasan sukar

Sukar untuk kerajaan Selangor bergerak tanpa prinsip tanggungjawab bersama sebagai sebuah badan eksekutif. Perkara ini bercanggah dengan Undang-undang Tubuh Selangor dalam Bab 3. Tidak mungkin ketiga-tiga Exco boleh memerintah bersama sedangkan partinya bercanggah matlamat dengan kerajaan Selangor.

Ulasan daripada Ong Bong Teck amat munasabah. Ahli PAS menduduki hampir 5 000 jawatan di Selangor dan PAS sebenarnya mendominasi hampir keseluruhan jawatan di Selangor dan Kelantan pasca-PRU13. Oleh itu, peletakan jawatan oleh ahli PAS akan memberi kesan kepada pentadbiran Selangor khususnya di peringkat tempatan.

Kini, cara terbaik adalah dengan melakukan undian untuk mencari ketetapan kedudukan exco PAS di Selangor. Undian ini bukanlah bersifat jalan mudah, tetapi ia membuka laluan jelas bagi mengembalikan semula kepercayaan Adun dan rakyat Selangor, meneruskan pemerintahan tanpa PAS.

Kedudukan Adun di Selangor amat kompetetif. Pakatan Harapan (PH) mempunyai 29 Adun manakala BN (12) PAS (13). Jadi, pelbagai perkara yang boleh berlaku. Pokoknya, menteri besar perlu mendapat mandat Adun dalam meneruskan kerjanya kepada rakyat Selangor.

Adun PAS di Selangor perlu menyatakan pendirian mereka ke atas kerajaan Selangor, lebih-lebih lagi ketiga-tiga exco PAS. Mereka seharusnya mengikut ketetapan Muktamar PAS atau menyatakan pendirian masing-masing atas kedudukan mereka menyokong kerajaan di Selangor. Perkara sedemikian membantu rakyat Selangor melihat dengan jelas kedudukan kerajaan Selangor.

Cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi ruang kepada PAS dan PKR berunding tentang masalah ini merupakan langkah terbuka, memberikan kebebasan kepada exco PAS untuk menetapkan pendirian mereka sendiri atau mengikut haluan parti.

Malah, tidak mempunyai masalah sekiranya PKR dan PAS ingin berunding dalam menghadapi PRU14 di luar bidang kerajaan negeri dalam memastikan prinsip 1 lawan 1 dicapai. Namun, risikonya amat tinggi dan memberi kesan kepada pengundi pro-PH.

Kepimpinan PH akan memperoleh kelebihan dan kejayaan dalam memantapkan lagi sokongan rakyat Selangor dan Malaysia sekiranya berjaya mengatasi masalah ini dengan bijak dan berprinsip.

Kepimpinan menteri besar menjadi keperluan dalam hal ini dan kematangan kepimpinan PH dalam menyokong kerajaan Selangor perlu diteruskan dalam memastikan kelangsungan pemerintahan di Selangor digapai sebelum PRU14.

Fakhrurrazi Rashid adalah pembaca FMT.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.