Tun, betulkah Melayu malas?

Dalam beberapa ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad sejak 9 Mei 2018, pandangan beliau ialah Melayu berada di keadaan semasa kerana mereka kaum yang “malas” atau “lazy” atau berat tulang, kata pepatah Melayu.

Dalam artikel ini, saya akan bentangkan pandangan saya yang lebih banyak tidak bersetuju dengan anggapan ini, tetapi ada sedikit yang saya setuju dengan pandangan Tun.

Saya telah banyak menulis tentang Melayu rasis, tetapi bukan malas. Saya banyak menulis Melayu tidak berfikiran kritis dalam beberapa isu penting, tetapi bukan Melayu pemalas.

Saya pernah tulis tentang para akademik Melayu yang ramai di universiti awam amat rajin isi bakul mereka sendiri dan mengabaikan tanggungjawab membina negara bangsa, tetapi saya tidak pernah kata mereka malas.

Saya bukan ahli ekonomi, tetapi saya tahu kalau bulan Ramadan nak makan di Sunway Pyramid, IOI Mall atau mana-mana tempat berharga sederhana dan berharga mahal seperti Tony Romas, kalau tak “booking” dahulu, alamat buka puasa dengan biskut di tepi jalanlah.

Saya bukan ahli ekonomi, tetapi kalau pergi Dol Tomyam dekat rumah saya penuh dengan Melayu makan bersaji dari 6 petang sampai 11 malam.

Saya bukan pakar perniagaan, tetapi yang paling ramai berniaga di pasar-pasar malam tu kebanyakannya saya lihat orang Melayu. Kaum Cina pun ramai berniaga di pasar malam Cheras dan sebagainya.

Saya lihat anak-anak Melayu penuh bekerja di McDonald, KFC, Pizza Hut dan banyak lagi rantaian restoran francais di negara ini. Saya tidak pernah jumpa Melayu yang tidak bekerja dan malas nak kerja.

Tun menuduh kontraktor dan peniaga restoran suka mengambil pekerja Indonesia dan Bangladesh kerana Melayu malas, sebab panas terik dan tak tahan berdiri lama-lama, mungkin juga. Tetapi, faktor gaji murah 7 juta pekerja asing, Tun tak jawab pun.

Tun sendiri kata jangan minta gaji banyak, nanti orang tak bagi kerja. Saya nak tanya Tun, sejak bila orang asing berbondong-bondong dibenarkan masuk ke negara ini? Bukankah zaman kontraktor Umno dapat banyak kontrak dan jadi ejen pekerja asing? Zaman siapa tu Tun?

Saya tidak pernah lihat Melayu malas. Yang saya lihat Melayu perasuah, ramai. Yang saya lihat Melayu pagar makan padi, berlambak. Yang saya lihat pemimpin Melayu melaungkan ketuanan Melayu dan keagungan Islam, tetapi merompak khazanah negara yang boleh diagihkan kepada anak-anak Melayu, Cina, Kadazan, Orang Asli miskin, yang ini memang banyak dalam satu parti…tak salah saya, parti Tun sendiri suatu ketika dahulu!

Sekarang kita tengok sendiri, 2 presiden Umno berdepan pertuduhan songlap wang berjuta-juta dan berbilion-bilion. Kalau kita bahagi, tak banyak, katakan RM60 bilion dengan RM10,000 bagi seorang anak Melayu, kita boleh sara 6 juta anak Melayu.

Jumlah RM60 bilion tu “minimum estimate”. Jangkaan saya, sejak Tun memerintah Umno pada 1980, 40 tahun lalu, saya agak lebih banyak bilion lagi dah hilang kepada puak-puak Melayu yang melaungkan ketuanan Melayu, keagungan Islam dan mungkin juga puak-puak yang kata Melayu malas.

Saya boleh bersetuju dengan Tun tentang Melayu malas. Orang Melayu malas membaca, itu saya setuju. Tetapi, 32 tahun mengajar di universiti awam dan swasta, budak-budak Cina, India dan Sikh pun sama malas membaca.

Saya boleh bersetuju dengan Tun bahawa Melayu malas berfikir. Buat apa fikir pasal agama, ustaz kan ada, ustazah pun ada, dengar ceramah sajalah. Buat apa fikir Islam dan modenisasi, kenapa rajin pergi surau, selalu pergi umrah, kerap pergi haji, bersih putih masuk syurgalah Melayu semua.

Melayu malas berfikir tentang pelaburan jangka jauh, ini saya setuju dengan Tun. Memang Tun kata benar, kalau Melayu dapat duit banyak, tengok saja keretanya, barang kemas baju wanitanya, “shopping”, “travel” pun cukup hebat. Pelaburan pendidikan tak buat. Sebab? Tak apalah, ada Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sekarang, kita tengok kenapa Melayu tak boleh maju? Tun kata banyak program dilaksanakan, Felda, Felcra, Mara, Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) serta banyak lagi, tetapi siapa yang kaya-raya? Pemimpin Umno dan kakitangan kerajaan yang mengurus.

Pekebun tak kaya pun, yang teruk mengait buah kelapa sawit tak kaya pun. Peladang padi lebih kurang macam dulu juga.

Tun, sebenarnya kegagalan sistem politik dan pentadbiran Melayu yang bersekongkol membiarkan rasuah dan salah guna kuasa berleluasa.

Datuk Seri Najib Razak betul, “Cash is king”. Cuma zaman sesetengah pemimpin itu, dia tak beri “cash”, tetapi beri projek, beri jawatan pengarah ini dan itu yang gaji beratus ribu ringgit sebulan. Sampai ketua polis yang tidak cerdik sekolah dan berfikir pun boleh jadi pengarah besar syarikat gergasi kerajaan.

Melayu tak malas. Pelajar Melayu tak malas, petani Melayu tak malas, guru Melayu tak malas, peniaga Melayu tak malas dan pensyarah Melayu pun tak malas. Kelemahan mereka adalah fikiran di bawah tempurung, tidak kritis, tidak luas dan tidak berfikir di luar kotak. Itu memang betul.

Tetapi, yang merosakkan peluang-peluang bagi orang Melayu berfikir, berpotensi dan berinspirasi adalah pemimpin-pemimpin Melayu Umno, PAS dan mungkin selepas ini, PPBM.

Yang mengkayakan diri dan seperti pagar makan padi adalah kakitangan kerajaan yang kebanyakannya Melayu. Ini sebenarnya penyakit orang Melayu. Tak payah buat kajian PhD, sudah terang-terang di depan mata kita.

Tetapi, orang Melayu masih terkongkong dengan penjilat, pembohong dan pemimpin politik, agama serta kerajaan Melayu yang asyik mendendangkan Melayu terancam oleh orang bukan Melayu dan Melayu masih tidak cukup kuasa ekonomi. Itu masalah sebenar Tun.

Bukan orang Melayu malas Tun, tetapi sikap dan pemikiran sempit. Orang Melayu kalau nak berjaya senang saja, buang pemimpin Umno, PPBM (terutamanya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman) dan PAS yang mengongkong pemikiran dan sikap terhadap masalah sebenar orang Melayu.

Orang Melayu perlu tutup Youtube dan televisyen, tak perlu dengar ustaz “kelas 2” seperti Zamihan Mat Zin, Kazim Elias dan Azhar Idrus.

Kalau nak dengar pun, dengar ustaz seperti Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, tetapi kalau beliau cakap mengenai orang Hindu dan marah pemimpin India, tak perlu dengarlah. Asri tak tahu semua, kita sama-sama manusia, ada kelemahan dan ego. Kita mesti membezakan apa nasihat baik dan tindakan menghina orang lain dengan perbahasan cetek.

Tidak ada siapa pun yang sempurna, diri saya pun begitu. Kalau ada perbahasan saya baik, tetapi pedas dan pahit, cuba telan. Banyak ubat yang pahit, tetapi mujarab. Jarang kita jumpa ubat sedap seperti minum teh tarik.

Kita perlu telan ubat pahit untuk membaiki diri kita. Tetapi, kita perlu beli ubat daripada profesional, bukan daripada P Ramlee atau AR Tompel dalam filem klasik Melayu.

Akhir sekali, saya simpulkan apa yang Tun katakan itu ada benarnya dalam sesuatu konteks, tetapi kebanyakannya tidak benar dalam konteks kepimpinan Melayu dan kakitangan awam Melayu yang di bawah politik Melayu itu sendiri selama 60 tahun.

Bila kepimpinan Melayu buat salah, cendekiawan Melayu di universiti diam membisu, dapat jadi naib canselor, naik pangkat profesor. Bila kepimpinan Melayu rasuah, orang agama tidak sentuh pun dalam khutbah Jumaat.

Melayu tak malas Tun, yang salah ialah kepimpinan Melayu seperti pepatah Melayu, harapkan pagar, tetapi pagar pula yang membaham padi. Bukan sedikit yang dibahamnya, tetapi banyak!

Tajuddin Rasdi ialah seorang profesor di UCSI.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.